KUNDASANG, SABAH – Kerajaan Negeri terus menyalurkan bantuan kepada penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kundasang yang terjejas dengan COVID-19.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang Datuk Dr. Joachim Gunsalam berterima kasih kepada Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), yang dipimpin oleh Datuk Seri Hajiji Haji Noor di atas bantuan bakul makanan kepada Ketua Isi Rumah (KIR) B40 dan mereka yang terdaftar dalam e-Kasih dari 85 buah kampung dalam DUN berkenaan di masa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ini.
“Kebanyakkan penduduk kampung yang terjejas ini tersenarai dalam kategori B40 yang berjumlah 2,500 KIR, manakala penerima di bawah senarai e-Kasih ialah seramai 1,383 orang…
“Saya berterima kasih kepada jentera pentadbiran yang terdiri daripada Pemuda PBS dan UPPM Kundasang atas komitmen dan iltizam mereka dalam mengedarkan bantuan bakul makanan ini tanpa mengira penat dan lelah yang bermula sejak 19 Jun lagi dan dijangka berakhir pada 27 Jun ini.
“Bagi kawasan yang sukar dimasuki kenderaan awam biasa, bekalan makanan dihantar dengan menggunakan kenderaan pacuan empat roda,” kata Dr. Joachim yang juga Timbalan Ketua Menteri dalam kenyataan media hari ini.
“Bantuan bakul makanan adalah disalurkan melalui Pejabat Daerah Ranau,” jelasnya lagi.
Dr. Joachim yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian berkata pengedaran bantuan tersebut dilaksanakan oleh Unit Pembangunan Masyarakat (UPPM) dan Pejabat ADUN Kundasang, manakala kos penghantarannya adalah dibiayai oleh beliau sendiri.
Kepada rakyat DUN Kundasang yang layak tetapi belum menerima bantuan makanan ini perlulah segera memaklumkan kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) masing-masing untuk diberikan kepada Pejabat Daerah Ranau untuk pengesahan yang mana akan dihantar kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).