
KOTA KINABALU, SABAH – Gabungan Persatuan Cina Malaysia (Huazong) berharap cadangan undang-undang anti-lompat akan diluluskan oleh kedua-dua belah pihak penggubal dasar negara, apabila ianya dibentangkan di Parlimen, bulan ini.
Presidennya, Tan Sri T.C Goh berkata ini lebih mencerminkan demokrasi kita.
Beliau juga berharap sebaik sahaja undang-undang tersebut diluluskan di Parlimen, kerajaan negeri juga akan mengikutinya untuk meluluskan undang-undang yang sama, atau membuat pindaan yang perlu kepada undang-undang berkaitan yang sedia ada.
“Ini adalah untuk memastikan kedua-dua undang-undang Persekutuan dan negeri yang berkaitan adalah konsisten antara satu sama lain…
“Sebahagian besar rakyat Malaysia berharap bahawa kelulusan undang-undang anti-lompat secara berkesan akan menghentikan trend politik tidak sihat (melompat parti) dan wakil rakyat sebegini lazimnya dikenali sebagai “katak politik” dan mereka amat dihina oleh rakyat,” katanya.
Goh yang juga Presiden Persekutuan Persatuan Cina Sabah (FCAS) berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan bantuan wang tunai RM20,000 Huazong untuk mangsa banjir, di Restoran Kampung Nelayan di Bukit Padang di sini, pada hari Isnin.
Turut hadir ialah isteri Goh, Puan Sri Joanne Ho, naib presiden FCAS, David Chan, Kapitan Lim Vun Chan, dan Kapitan Fung Chun Fatt, antara lain.
Goh mengingatkan bahawa cadangan perundangan anti-lompat adalah salah satu kata sepakat utama yang dicapai antara kerajaan dan penggubal dasar dari kedua-dua belah pihak yang berpecah, apabila menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk transformasi dan kestabilan politik.
Beliau seterusnya menyatakan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah berjanji semasa pertemuan dengan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1 Mac baru baru ini dan berjanji bahawa cadangan undang-undang anti-lompat akan dibentangkan di Parlimen.
“Undang-undang anti-lompat yang dicadangkan telah banyak dijangkakan bukan sahaja oleh penggubal dasar kedua-dua belah pihak, tetapi juga oleh sebahagian besar rakyat Malaysia.
“Justeru, diharap ia dapat diluluskan dengan jayanya di Parlimen tidak lama lagi dan dapat dilaksanakan secepat mungkin selepas ini,” katanya.
Beliau juga optimis bahawa jawatankuasa teknikal yang terdiri daripada penggubal dasar dari kedua-dua belah pihak, yang ditubuhkan berikutan pemeteraian MoU mengenai transformasi dan kestabilan politik akan memberikan sokongan penuh untuk penggubalan tersebut.
Tambahnya, Huazong juga menyokong penuh nasihat Yang di-Pertuan Agong kepada kerajaan dan Ahli Parlimen Pembangkang, dalam titah ucapan diraja untuk memulakan sesi ke-5 Parlimen Malaysia ke-14 baru-baru ini iaitu untuk mengekalkan persefahaman politik yang dimeterai September lalu dan bersatu dan mengelakkan politiking yang keterlaluan.
“Kami di Huazong bersetuju sepenuhnya dengan titah Yang di-Pertuan Agong yang menggesa ahli politik di negara ini untuk sentiasa bekerja demi kepentingan negara dan rakyatnya,” ujarnya.