TUARAN, SABAH – Bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman akan turun berkempen bagi membantu semua calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ke-16 ini.
GRS merangkumi beberapa komponen parti iaitu Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah, yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-16.
“Sebenarnya, saya tidak mahu datang berkempen turun ke bawah… Biarlah saya bersara sekejap. Namun, memikirkan… ingatkan kawan-kawan, sahabat-sahabat baik sebagai adik-adik saya, maka saya turun ke bawah dan menolong seberapa yang boleh agar mereka ini, insya-Allah akan menang dalam pilihan raya ini.
“Saya akan, kalau boleh… sebanyak (yang) boleh saya akan menjelajah untuk memberi ingatan dan kesedaran kepada rakyat, jangan sekali-kali terpedaya, jangan sekali-kali terbohong (tertipu),” katanya ketika berucap pada program mesra rakyat bersama calon DUN Sulaman Datuk Seri Hajiji Noor di Pusat Daerah Mengundi Indai, Kampung Indai, dekat sini, semalam (Jumaat).
Hadir sama pada program itu ialah Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dan Pesuruhjaya PAS Sabah Mohd Aminuddin Aling.
Pada masa yang sama, Musa turut memuji keprihatinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadap masalah rakyat dengan memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi yang jelas banyak membantu meringankan beban rakyat terutama golongan berpendapatan rendah dalam menghadapi cabaran global susulan penularan wabak COVID-19 yang mana kini Sabah adalah negeri yang penyumbang utama kepada angka kes baharu positif wabak tersebut.
“Saya punya peribahasa, ada ubi ada batas, ada budi boleh dibalas. Tan Sri Muhyiddin seorang perdana menteri berbudi. Kita balas budi beliau… Bukan susah, bukan payah kata orang kampung… Undi saja… Macam di Sulaman ini, undi calon nombor tiga (Hajiji)… Selamatlah kita. Begitu juga saya katakan di Kiulu, di Tamparuli,” kata beliau dalam ucapannya yang memuji Perdana Menteri Malaysia.
Beliau juga turut berkata bahawa rakyat Sulaman perlu memberi peluang kepada Hajiji untuk terus menjadi wakil rakyat di kawasan itu kerana sememangnya Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah itu seorang yang bekerja keras, baik hati, ikhlas, dedikasi selain sentiasa prihatin akan keperluan penduduk di situ.