SABAH MEMILIH: Ahli MT UMNO Positif COVID-19 Selepas Berkempen PRN Sabah

SABAH MEMILIH: Ahli MT UMNO Positif COVID-19 Selepas Berkempen PRN Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Razlan Rafii dilaporkan positif COVID-19 selepas berkempen di kawasan Parlimen Sipitang.

Menurut sumber, beliau kini telah berada di hospital untuk dikurantinkan sepenuhnya bagi mendapatkan rawatan susulan.

Sumber itu turut menjelaskan semua kontak rapat pemimpin UMNO itu juga telah diminta untuk melakukan Ujian Swab (Swab Test) bagi mengelakkan sebarang penularan.

Dalam pada itu, Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata tiada laporan rasmi yang diterima setakat ini.

Namun tegas beliau, jika ia benar dan didapati positif, individu itu perlu dikuarantin di Sabah sehingga pulih sepenuhnya.

“Saya belum dapat laporan lagi mengenai hal itu. Jika ada, perlu dirawat sehingga pulih sebelum pulang ke Semenanjung.

“Sebab itu saya sentiasa pesan patuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan kerajaan,” katanya.

Ismail turut menegaskan Jawatan kuasa Kabinet akan membincangkan isu keselamatan dan kesihatan di Sabah menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Selasa depan.

“Susulan peningkatan kes di Sabah menjelang PRN, isu itu akan turut dimasukkan dalam mesyuarat berkenaan, Selasa ini,” katanya dalam satu sidang media selepas mengadakan Ziarah Kasih di kawasan Sekong, semalam.

Untuk rekod, hari membuang undi telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 26 Sept ini.