
KOTA BELUD, SABAH – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan, Fairuz Renddan berkata generasi muda khasnya anak-anak kampung perlu sentiasa memegang impian untuk melanjutkan pelajaran sehingga menara gading dan menjadi pelapis kejayaan kepada keluarga dan komuniti.
“Saya yakin, ramai anak-anak kita sebenarnya bijak, rajin dan mempunyai keinginan untuk mencipta kejayaan sehingga ke menara gading, sekaligus mendapatkan pekerjaan yang baik dan membantu keluarga…
“Untuk ini, saya ingin semua ibu bapa dan guru-guru untuk sentiasa menjadi pembakar semangat dan menyuntik motivasi positif kepada anak-anak kerana mereka adalah harapan kita, harapan bangsa yang kelak akan meneraju negara,” katanya.
Fairuz berkata demikian semasa hadir dalam majlis perjumpaan bersama anak-anak DUN Pintasan yang menerima tawaran kemasukan ke universiti di sini pada Sabtu.
Fairuz yang juga merupakan Ketua ARMADA BERSATU Negeri Sabah turut menyampaikan sumbangan wang kepada 15 pelajar yang menerima kemasukan ke universiti tidak lama lagi.

“Saya sebagai ADUN di sini, tiada lain harapan saya, tentunya saya ingin anak-anak muda kita berjaya dan mengharumkan nama Pintasan, selain daripada membawa pembangunan dan membantu rakyat di sini…
“Saya amat bangga dengan anak-anak ini yang pastinya tidak lama lagi, akan berjaya dan menjadi contoh ikutan kepada generasi seterusnya, semoga adik-adik semua terus berjaya dengan cemerlang,” katanya lagi.
Tambah Fairuz, beliau juga akan memberikan sumbangan berupa komputer riba untuk kegunaan kesemua anak-anak yang bakal melanjutkan pelajaran itu dalam masa terdekat.
“InsyaAllah, jika semua berjalan lancar, minggu hadapan, kita akan berikan adik-adik semua komputer riba, untuk kegunaan bagi menyiapkan tugasan di kampus, belajar dan untuk dimanfaatkan sebaiknya…
“Saya harap dengan serba sedikit sumbangan dari saya ini, mampu memberi sinar kegembiraan dan semangat kepada adik-adik semua, belajar rajin-rajin, ingat ibu ayah dan insyaAllah, adik-adik pasti berjaya kelak,” ujar beliau lagi.