JAMAICA – Sepasang suami isteri yang baru berkahwin di sini mengambil tindakan terhadap tetamu yang gagal hadir ke majlis perkahwinan mereka dengan meminta bayaran ganti rugi.
Ini selepas pasangan itu menanggung kos makan malam majlis perkahwinan mereka yang menelan hampir ribuan ringgit terutamanya untuk penyediaan makanan kepada para tetamu.
Memetik satu laporan India.com, pengantin perempuan telah membuat invois khas dan mengirimkannya kepada tetamu yang gagal hadir serta meminta mereka membayar RM1,000.
Gambar invois itu dikongsikan di Twitter oleh seorang pengguna bernama Philip Lewis, editor kanan tabloid Huffington Post pada Ogos lalu.
Philip berkata, “Saya rasa saya tidak pernah melihat invois resepsi perkahwinan sebelum ini.”
Invois tersebut menunjukkan maklumat bahawa majlis perkahwinan itu berlangsung di Royalton Negril, sebuah resort di Jamaica.
Turut dinyatakan dalam bil tersebut, “Tetamu tidak menghadirkan diri”.
Selain itu, bil turut menyebut harga makan malam bagi seorang tetamu berjumlah $120 (RM500). Disebabkan dua tetamu tidak hadir, jumlah keseluruhannya adalah $240 (RM1,000). Dua tetamu terbabit diminta membuat pembayaran itu dalam tempoh sebulan.
“Invois ini dihantar kepada anda kerana anda telah mengesahkan kehadiran dan tempat duduk di majlis perkahwinan. Amaun di atas adalah kos per individu…
“Disebabkan anda tidak menghubungi atau memaklumkan kepada kami bahawa anda tidak dapat hadir, jumlah ini perlu dibayar. Anda boleh membuat pembayaran melalui Zelle atau PayPal. Sila hubungi kami dan maklumkan kaedah pembayaran yang sesuai untuk anda. Terima kasih!,” menurut invois itu.