GRS Terima Realiti Landskap Politik Baharu, Fokus Terjemah Mandat Rakyat – Armizan

GRS Terima Realiti Landskap Politik Baharu, Fokus Terjemah Mandat Rakyat – Armizan

0
SHARE

KOTA KINABALU: Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali menegaskan bahawa keputusan Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sabah kali ini mencerminkan realiti baharu politik Malaysia, khususnya keperluan kerjasama pasca pilihan raya bagi membentuk kerajaan yang mempunyai keabsahan majoriti mudah.

Dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook beliau malam tadi, Armizan berkata walaupun keputusan tidak sepenuhnya selari dengan harapan, rasa syukur tetap wajar kerana rakyat masih memberi kepercayaan kepada GRS untuk menerajui pentadbiran negeri.

“Saya akui memang pilihan raya yang amat mencabar. Apa yang kita harapkan tidak semestinya kita dapat sepenuhnya, namun rasa syukur mesti ada kerana rakyat menaruh kepercayaan kepada GRS, walau tidak mendapat kemenangan majoriti mudah,” katanya.

Menurut beliau, PRU kali ini juga mencatat sejarah apabila logo GRS digunakan buat pertama kali dalam pilihan raya negeri.

Armizan menjelaskan, kerjasama politik membentuk kerajaan selepas pilihan raya bukanlah sesuatu yang luar biasa, malah satu realiti demokrasi moden yang berlaku di seluruh dunia, apatah lagi di Sabah yang mempunyai kepelbagaian parti serta jumlah calon yang tinggi di setiap kawasan DUN.

“Kerjasama ini bukan bermakna ia akan berterusan sehingga pilihan raya akan datang. Pada pilihan raya seterusnya gelanggang akan dibuka semula untuk setiap parti bersaing,” tegasnya.

Beliau turut menyeru barisan Jemaah Menteri yang baharu dilantik agar membawa pendekatan lebih segar dalam pentadbiran kerajaan negeri.

“Saya amat berharap rakan-rakan seangkatan yang menerima amanah menganggotai Barisan Jemaah Menteri boleh membawa nafas baharu. Saya yakin Datuk Ewon, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan dan Datuk Jamawi Jaafar boleh menggalas amanah ini,” katanya sambil mengingatkan bahawa setiap parti akan terus berhadapan penilaian rakyat, bukan hanya dalam tempoh lima tahun, tetapi seawal satu hingga dua tahun dari sekarang.

Armizan juga menekankan kepentingan komunikasi strategik dalam memastikan rakyat dimaklumkan mengenai perkembangan dan pencapaian kerajaan.

“Tidak ada mana-mana pihak atau kerajaan yang mampu memenuhi setiap satu aspirasi rakyat. Namun apa yang penting ialah kemampuan membawa progress yang bernilai dan bermakna. Paling penting, setiap perkembangan perlu dimaklumkan kepada rakyat. Jangan biarkan naratif dikuasai orang lain,” jelasnya.

Beliau menambah bahawa komunikasi tidak boleh disandarkan sepenuhnya kepada penjawat awam kerana tugas tersebut bukan merupakan teras pekerjaan mereka.

“Peranan ahli politik dalam pentadbiran adalah untuk provide leadership,” katanya.