KOTA KINABALU, SABAH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM Malaysia) sedang giat mencari dan menyelamat seorang nelayan tempatan yang hilang selepas dipercayai disambar petir di perairan Pulau Dinawan, Kinarut sekitar jam 6.45 petang semalam.
Mangsa telah dikenal pasti sebagai Mohd Nasir Abdul Nasir, 62 dan anaknya Abdullah Mohd Nasir berumur dalam lingkungan 20-an.
Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Hj. Mohd Rosli Abdullah berkata kedua mangsa dilaporkan telah keluar ke laut dengan menaiki bot pam berasingan untuk menangkap ikan di pesisir pantai sekitar jam 5.30 pagi.
“Mereka dilaporkan hilang setelah tidak pulang pada sebelah petang…
“Operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) diaktifkan pada jam 8.00 malam semalam melalui Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kota Kinabalu berikutan aduan awam,” katanya.
Nelayan tempatan lain yang berada di sekitar lokasi telah menemui mayat mangsa anak dan membawanya ke hospital namun telah disahkan meninggal dunia oleh pihak Hospital Papar pada jam lebih kurang 7.00 petang semalam.
Manakala mangsa kedua, si bapa, Mohd Nasir masih belum ditemui.
“Usaha-usaha CARILAMAT bagi mengesan mangsa diteruskan dengan bantuan beberapa aset daripada agensi sahabat yang lain seperti Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM)…
“Operasi CARILAMAT mangsa telah masuk hari kedua dengan keluasan pencarian 50 batu nautika persegi dan setakat ini masih belum menemui tanda-tanda atau petunjuk positif berkaitan mangsa di lokasi kejadian,” kata Rosli.
Maritim Malaysia turut menyeru kepada komuniti maritim untuk terus meningkatkan keselamatan semasa melakukan aktiviti di laut seperti peka dengan keadaan cuaca semasa.
“Sentiasa memakai jaket keselamatan, pastikan keadaan bot dalam keadaan baik dan membawa alat pengesan lokasi (PLB) serta maklumkan kepada kaum keluarga atau sahabat yang lain lokasi dan tujuan kita dilaut,” tambahnya.