PUTRAJAYA – Perjanjian persefahaman (MoU) antara Pakatan Harapan (PH) dengan gabungan parti yang menyokong pembentukan Kerajaan Perpaduan disifatkan sebagai langkah jauh lebih demokratik, berbanding ketika kerajaan di bawah pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Memetik sumber Berita Harian, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, berkata ia juga termasuk dengan keputusan mengadakan usul undi percaya terhadap Perdana Menteri pada sidang Dewan Rakyat pada minggu depan.
Menurutnya, 148 orang Ahli Parlimen yang menyokong Kerajaan Perpaduan bebas untuk mengundi mengikut kepakaran dan pandangan masing-masing.
Walau bagaimanapun, ia dikecualikan membanitkan perkara bersabit dengan keabsahan seperti yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Akta Anti Lompat Parti.
“Selalunya ada dua bentuk undi di Parlimen yang bersabit keabsahan kerajaan. Pertama, jika ada usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri, keduanya, undian kepada bajet tahunan dibuat…
“Selain daripada dua undi ini sebenarnya Ahli Parlimen bebas untuk mengundi mengikut pandangan masing-masing dan itu tidak tertakluk kepada Fasal 4 dalam perjanjian ini.
“Bagi saya ini jauh lebih demokratik, berbanding dengan keadaan berlaku sebelum ini sewaktu Muhyiddin dan Perikatan Nasional (PN) berkuasa…
“Ketika itu apabila nampak sudah hilang majoriti dia menggunakan kuasa darurat untuk memerintah tanpa cuba untuk mengesahkan sokongan majoriti di Parlimen pun, sebab itu agak lucu apabila satu-satunya reaksi daripada PN adalah kononnya ini satu langkah berbahaya ke arah wujud diktator di bawah Perdana Menteri ke-10,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam pautan video yang dimuat naik dalam laman media sosial Facebook, hari ini.





