Tidak Semua Projek Melalui Rundingan Terus, Ada Perlu Disegerakan Membabitkan Kecemasan

Tidak Semua Projek Melalui Rundingan Terus, Ada Perlu Disegerakan Membabitkan Kecemasan

0
SHARE
Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man...

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa tidak sepatutnya menganggap semua projek melalui rundingan terus sebagai tidak teratur khususnya membabitkan projek kecemasan yang perlu disegerakan.

Memetik sumber Berita Harian, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata sebagai Menteri Kewangan, beliau seharusnya mengetahui bahawa rundingan terus kepada projek tebatan banjir yang perlu disegerakan bukanlah satu kesalahan perolehan.

Tuan Ibrahim yang juga merupakan bekas Menteri Alam Sekitar dan Air berkata Anwar tahu terdapat banyak projek kecemasan perlu disegerakan bagi mengurangkan bencana lebih besar dan mendapat kerugian lebih banyak.

“Ia mestilah terpaksa dilakukan melalui kaedah runding terus atau tender terpilih khususnya yang membabitkan bencana seperti banjir, empangan pecah, tanah runtuh dan lain.

“Namun, sekali lagi saya tegaskan ia mesti mematuhi prosedur kewangan yang ditetapkan…

“Selain KASA (Kementerian Alam Sekitar dan Air), semua proses kawal selia prosedur kewangan mestilah diteliti secara ketat mengikut tatacara, prosedur dan garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

Hari ini, media melaporkan Anwar selaku Perdana Menteri mengarahkan beberapa kelulusan projek tebatan banjir bernilai RM7 bilion tidak diteruskan.

Ia membabitkan kelulusan secara rundingan terus yang diluluskan sebelum ini.

Anwar berkata pihaknya memaklumkan pegawai di Kementerian Kewangan itu juga sudah diminta untuk meneliti semula kelulusan yang diberikan bagi memastikan ia mematuhi prinsip ketelusan dan peraturan yang ditetapkan.