KOTA KINABALU: Anugerah Sabah Trusted Brand Award (STBA) disifatkan unik kerana terbuka kepada semua tanpa mengira kaum, bidang atau bentuk perniagaan, kata Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib.
Jelas beliau, ini adalah bukti bahawa Sabah adalah negeri yang meraikan kepelbagaian dan kemajuan secara inklusif.
“Namun, apa yang menjadikan pengiktirafan ini lebih istimewa ialah proses ketat yang dilalui oleh setiap syarikat untuk melepasi audit yang telah ditetapkan. Ini memastikan hanya jenama yang benar-benar cemerlang diberi penghormatan yang tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian STBA anjuran Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) Sabtu lalu.
Pada majlis itu sebanyak 36 syarikat yang menerima pengiktirafan tersebut di mana pengiktirafan itu bukan sahaja mengiktiraf usaha syarikat terlibat dalam membina jenama yang kukuh dan dipercayai tetapi juga memberi gambaran helas tentang pentingnya komitmen terhadap kualiti dan kepercayaan pengguna.
Sementara itu, James berkata, dalam era persaingan perniagaan yang semakin sengit, branding atau penjenamaan menjadi satu aspek yang sangat penting.
“Jenama yang kukuh bukan sahaja membantu meningkatkan daya saing tetapi juga menjadi simbol kepercayaan pengguna terhadap kualiti produk atau perkhidmatan yang ditawarkan.
“Oleh itu, kepada semua penerima anugerah, saya berharap kejayaan ini akan menjadi motivasi untuk anda terus mempertingkatkan usaha dan mencapai kejayaan yang lebih besar di masa hadapan.
“Sebagai negeri yang kaya dengan sumber daya dan kepelbagaian budaya, Sabah mempunyai potensi besar untuk menjadi peneraju dalam pelbagai bidang perniagaan,” jelasnya.