NAIROBI, KENYA – Seorang peguam palsu, Brian Mwenda, telah ditahan oleh polis selepas berjaya memenangi 26 kes semasa mewakili dirinya sebagai peguam bela di Mahkamah Tinggi Kenya.
Menurut Nigeria Tribune, “peguam” tersebut mampu mengendalikan semua kes di hadapan Majistret, Hakim Mahkamah Rayuan dan Hakim Mahkamah Tinggi.
Mwenda berjaya menggambarkan dirinya sebagai seorang peguam yang berkelayakan untuk tempoh yang agak lama dan hakim tidak meragui kebolehannya sehinggalah selepas penahanannya.
Pasukan Tindakan Pantas Persatuan Undang-undang Kenya Cawangan Nairobi menahannya selepas menerima banyak aduan awam.
Persatuan tersebut pada akaun X (dahulu twitter) berkata Mwenda telah mengakses portal mereka secara jenayah.
“Mwenda bertindak mengenal pasti akaun dengan nama yang sepadan dengannya, mengubah butiran dan memuat naik fotonya sendiri dalam usaha untuk menyusup ke dalam profesion undang-undang Kenya,” katanya.
Mereka medapati bahawa Brian Mwenda mencuri identiti seorang peguam dengan nama yang serupa dengannya, Brian Mwenda Ntwiga, selepas peguam yang sah itu menghubungi Sekretariat selepas menyedari bahawa dia tidak boleh log masuk ke dalam sistem.
Selepas memaklumkan kepada jabatan IT pada 28 September tentang kesukarannya, mereka segera mendapati bahawa dia tidak dapat mengakses laman keahliannya kerana maklumat dalam sistem, terutamanya alamat e-mel bukan miliknya.
“Pada 5 Ogos 2022, Brian Mwenda Ntwiga telah dimasukkan ke Badan Peguam menggunakan alamat e-melnya yang betul untuk akaun dalam portal Peguambela.
“Kami menghubungi Peguambela Brian Mwenda Ntwiga yang mengesahkan bahawa dia tidak memohon untuk sijil peguaman sejak diterima masuk, sebab beliau pernah bekerja di Pejabat Peguam Negara dan tidak memerlukan Sijil Amalan.
“Hanya sehingga pada September 2023 apabila dia cuba daftar masuk ke dalam sistem dan mengaktifkan profilnya untuk memohon Sijil Pengamalannya barulah dia menyedari bahawa dia tidak boleh mengakses portal,” katanya.
Persatuan itu juga mendedahkan bahawa selepas diberikan akses, peguam palsu Brian Mwenda mengubah suai foto profilnya, memohon, dan membayar sijil amalannya
“Apabila dibenarkan mengakses akaun itu, dia mengawal portal dan menukar gambar profilnya, tempat kerja dan memohon serta membayar sijil amalan.
“Bagaimanapun, permohonannya tidak diproses kerana dia dikehendaki menyediakan dokumen termasuk sijil pemerbadanan perniagaan,” menurut persatuan terbabit.