Kematian Kanak-Kanak 12 Tahun Di Johor Tiada Kaitan Strok Haba

Kematian Kanak-Kanak 12 Tahun Di Johor Tiada Kaitan Strok Haba

0
SHARE

KLUANG, JOHOR – Kes kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun di daerah ini tiada kaitan dengan strok haba.

Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dr Mohtar Pungut@Ahmad berkata, kanak-kanak itu dimasukkan ke wad kerana mengalami sawan selepas mengalami demam panas sehari sebelum dan mempunyai gejala batuk selama tiga hari.

“JKNJ memohon kerjasama semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.

Terdahulu, media melaporkan kanak-kanak lelaki meninggal dunia kira-kira 7 pagi semalam disyaki mengalami simptom strok haba.

Bapanya, Syahrol Azmi Mohd Hekak, 42, berkata, anak keduanya, Airiel Syahren disahkan meninggal dunia oleh doktor di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom.

Menurutnya, anak kedua daripada empat beradik itu mengalami simptom demam tidak berpeluh, kekejangan otot, muntah, dan meracau kira-kira 10 malam Ahad lalu.

Baru-baru ini, dua orang kanak-kanak berusia 11 dan setahun tujuh bulan di Kelantan dilaporkan telah meninggal dunia dipercayai akibat strok namun kes terbabit masih dalam siasatan.