Notis Penutupan Sementara Jalan dan Parking Sempena Bazar Ramadan

Notis Penutupan Sementara Jalan dan Parking Sempena Bazar Ramadan

0
SHARE
Gambar Hiasan

KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) akan membuka Bazar Ramadan bagi tahun 2024 yang bermula hari ini 12 Mac (Selasa) hingga 9 April 2024 (Selasa) dari jam 1 petang hingga 7 malam setiap hari di lokasi-lokasi Bazar Ramadan yang telah dikenalpasti oleh DBKK.

Sehubungan dengan itu, DBKK menerusi satu kenyataan di sini berkata, akan melaksanakan penutupan sementara lokasi-lokasi yang terlibat bagi memberi laluan kepada penganjuran Bazar Ramadan ini.

Antara lokasi terbabit adalah Lintasan Deasoka (Dataran Lintasan Deasoka, jalan raya dan tempat letak kereta), Indah Permai (tempat letak kereta bersebelahan Bataras), Damai (tempat letak kereta Dewan Damai), Sembulan (tapak pasar malam Sembulan dan sekitar kedai), Kingfisher (tapak pasar malam Kingfisher), Pasar Malam Inanam (tapak tamu), Pasar Malam Menggatal (tapak pasar malam). 

“Bagi memastikan keselamatan dan kelancaran trafik, pengguna jalan raya, pengusaha kedai berdekatan lokasi bazar, para peniaga dan pengunjung dinasihatkan untuk mematuhi arahan anggota Penguatkuasa yang bertugas dan menggunakan jalan alternatif serta tempat letak kereta lain yang berhampiran sepanjang tempoh penutupan sementara jalan dan tempat letak kereta ini,” katanya.

Selain daripada lokasi bazar yang tersenarai, DBKK juga menjemput orang ramai untuk mengunjungi Bazar Ramadan lain yang disediakan oleh DBKK di Padang Merdeka, Pekan Tanjung Aru (sebelah pejabat pos), City Park dan Taman Chong Thein Vun yang menawarkan pelbagai juadah untuk berbuka puasa.