KOTA KINABALU: Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah dan Conservation Medicine (CM) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) baharu bagi meneruskan kerjasama pemantauan kesihatan hidupan liar dan penyakit zoonotik yang bermula sejak 2011.
Kerjasama ini merangkumi pengoperasian Makmal Kesihatan, Genetik dan Forensik Hidupan Liar (WHGFL) di Danau Girang yang telah menerima pensijilan ISO 17025 pada 2024, membolehkan sampel forensik digunakan dalam pendakwaan kes berkaitan perdagangan dan pemburuan haram hidupan liar.
Selain itu, Unit Kesihatan Hidupan Liar Sabah (WHU) yang ditubuhkan pada 2013 menjalankan pemeriksaan haiwan diselamatkan serta pemantauan penyakit di lapangan.
Pegawai JHL turut menerima latihan berterusan dalam pensampelan, bioselamatan dan tindak balas wabak.
Menurut Pengarah CM, Tom Hughes, peningkatan interaksi manusia, ternakan dan hidupan liar meningkatkan risiko penularan penyakit baharu, manakala pemantauan penyakit dalam populasi hidupan liar masih terhad.
“Oleh itu, pengesanan awal amat penting bagi melindungi kesihatan awam dan ekonomi,” katanya.
Pengarah JHL, Mohd Soffian Abu Bakar, berkata kerjasama ini juga menyokong agensi kesihatan dan universiti tempatan dalam usaha mencegah penularan penyakit serta membantu pengurusan hidupan liar di Sabah.
Dalam pada itu, kajian turut mengesahkan bahawa tenggiling Sunda bukan perumah atau perantara virus COVID-19, dan jangkitan yang dikesan berpunca daripada pendedahan selepas terlibat dalam perdagangan haram, sekali gus mengukuhkan kepentingan menamatkan perdagangan hidupan liar dan meningkatkan biosekuriti pasaran.






