Terlibat Kes Pecah Rumah, Lelaki Warga Asing Ditahan Curi Papan Kayu Belian...

Terlibat Kes Pecah Rumah, Lelaki Warga Asing Ditahan Curi Papan Kayu Belian di Tawau

0
SHARE

TAWAU: Polis menahan seorang lelaki warga asing yang disyaki terlibat dalam kes pecah rumah dan mencuri papan kayu belian dalam kejadian di Kampung Melati Burut, di sini, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, suspek berusia lingkungan 40-an itu ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Tawau dengan bantuan Balai Polis Bombalai kira-kira jam 6.35 petang di tepi jalan Kampung Melati Burut.

Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku pada Ahad lalu kira-kira jam 8 malam apabila mangsa mendapati pintu dapur belakang rumahnya diumpil dan rosak sebelum menyedari kehilangan 40 keping papan kayu belian dengan anggaran kerugian sekitar RM2,000.

“Hasil siasatan membawa kepada penahanan suspek dan polis turut merampas sembilan batang kayu belian serta sebilah pisau panjang yang dipercayai digunakan dalam kegiatan jenayah tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah, Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan 1958 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Dalam pada itu, ACP Jasmin menegaskan pihak polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk jenayah harta benda dan pelanggaran undang-undang imigresen di daerah ini, sambil menasihatkan orang ramai agar terus menyalurkan maklumat bagi membantu usaha pencegahan jenayah.