Pengsan Semasa Mendaki, Wanita 24 Tahun Dibawa Turun Guna Pengusung oleh Bomba

Pengsan Semasa Mendaki, Wanita 24 Tahun Dibawa Turun Guna Pengusung oleh Bomba

0
SHARE

KOTA KINABALU: Seorang wanita berusia 24 tahun pengsan ketika menjalankan aktiviti mendaki di Taman Botani Tun Fuad Stephen, berhampiran Klinik Mesra Bukit Padang, petang Selasa sebelum diselamatkan pasukan bomba.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, PKPgB Noor Sherriyana Bohari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian 999 pada jam 4.59 petang sebelum sembilan anggota dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Pasukan bomba terpaksa mendaki kira-kira 250 meter untuk sampai ke lokasi mangsa yang dilaporkan pengsan semasa aktiviti mendaki,” katanya dalam kenyataan, di sini, semalam.

Menurut beliau, mangsa ditemui dalam keadaan sedar dan seterusnya dibawa turun menggunakan pengusung (stretcher) bagi memastikan keselamatan sepanjang proses menyelamat.

“Mangsa kemudian diserahkan kepada pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum dihantar ke Hospital Queen Elizabeth II untuk rawatan lanjut,” katanya.

Operasi menyelamat melibatkan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan KKM itu tamat sepenuhnya pada jam 6 petang selepas pasukan bomba memastikan keadaan di lokasi adalah selamat dan tiada bahaya lain.

PKPgB Noor Sherriyana turut menasihatkan orang awam agar sentiasa menjaga tahap kesihatan dan membuat persediaan rapi sebelum menjalankan aktiviti lasak seperti mendaki, khususnya di kawasan berbukit.