KUALA LUMPUR – Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun selaku Wakil Khas kepada Perdana Menteri akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-40 dan ke-41 dan Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan yang akan berlangsung di Phnom Penh, Kemboja, bermula hari ini sehingga 13 November.
Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan pejabat Kementerian Luar Negeri hari ini menyatakan Azhar juga bakal
menyertai Sidang Kemuncak ASEAN Campur Satu bersama dengan pemimpin dari Australia, Kanada, China, India, Jepun, Republik Korea, Amerika Syarikat, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Sidang Kemuncak ASEAN Campur Tiga serta Sidang Kemuncak Asia Timur.
Selain itu, Malaysia juga akan mengambil bahagian dalam Sesi Suamuka antara Pemimpin ASEAN dengan Perwakilan Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA), Belia ASEAN dan Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC).
Pemimpin dan Perwakilan ASEAN juga bakal menghadap Raja Kemboja, Yang Mulia Preah Bat Samdech Preah Boromneath Norodom Sihamoni.
“Penyertaan Malaysia pada Sidang Kemuncak ASEAN mencerminkan komitmennya yang tidak berbelah bahagi kepada ASEAN, termasuk dalam mempromosi kepusatan dan kesatuan ASEAN, usaha membina komuniti dan penglibatan dan kerjasama berterusan dengan Rakan Dialog ASEAN dan pihak luar, di tengah-tengah ketegangan geopolitik yang memuncak di peringkat global dan dinamik serantau yang mencabar…
“Malaysia juga akan mengulangi pendiriannya berhubung situasi di Myanmar dan menyeru agar ASEAN mengambil sikap yang lebih tegas dalam perbincangan pada Sidang Kemuncak ASEAN,” jelas dalam kenyataan terbabit.





