KINABATANGAN: Komander Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) Victor B Sanjos memuji tindakan pantas Bahagian Keselamatan yang berjaya merampas 4,486 karton rokok kretek dan rokok putih pelbagai jenama serta 143 karton mercun di Kampung Paris III dengan nilai selepas cukai dianggarkan RM850,000.
Serbuan pada Rabu (11 Mac) lalu dilakukan hasil maklumat awam mengenai aktiviti penyeludupan dan melibatkan pemeriksaan di tiga premis tidak bernombor di kampung tersebut.
Rampasan termasuk rokok jenama Astro Merah, Neslite, Astro Fuze, Era Biru, L.A Bold, Nice dan Extreme Mild yang disyaki melanggar Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017.
Semua barang rampasan diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk tindakan lanjut di bawah Akta Kastam 1967.
“ESSCOM sentiasa memantau dan akan terus memperhebat operasi khas bagi mengekang jenayah rentas sempadan serta sebarang elemen yang boleh menggugat keselamatan di Zon Selamat Sabah Timur,” katanya.






