MEMBAKUT: Seorang penunggang motosikal maut manakala rakannya cedera selepas motosikal mereka bertembung dengan sebuah Perodua Ativa yang dipandu pelajar warga Korea di Km19 Jalan Beaufort–Papar berhampiran Taman Emas Takapan, Rabu malam.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Supt Wong Leong Meng berkata, mangsa, Herrvin Rowell Sylvester, 19, meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemboncengnya Muhammad Syahdan Saiffudin Shamsul, 14, patah kaki kanan.
Katanya, kereta berkenaan dipandu Kim Dongyoung, 20, pelajar Korea dari Laksamana College Brunei yang membawa tiga penumpang termasuk warga Korea dan Brunei.
“Apabila sampai di lokasi kejadian, kenderaan itu dipercayai masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung secara depan dengan motosikal mangsa,” katanya.
Menurutnya, impak pelanggaran menyebabkan penunggang dan pembonceng tercampak ke dalam parit bersama motosikal.
Pembonceng dihantar ke Hospital Beaufort untuk rawatan, manakala semua penumpang kereta tidak cedera. Pemandu kereta ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.






