Van Sumbangan TH, Bakal Manfaatkan Lebih 300 Guru, Murid Tahfiz Pondok Fii...

Van Sumbangan TH, Bakal Manfaatkan Lebih 300 Guru, Murid Tahfiz Pondok Fii Dzilalil Quran

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Menteri Hal Ehwal Agama, Senator Datuk Idris Ahmad berkata, lebih 300 guru dan murid tahfiz Pondok Fii Dzilalil Quran bakal mendapat manfaat daripada penerimaan van serbaguna sumbangan Lembaga Tabung Haji (TH).

Katanya, Program Mobiliti TH yang bermula sejak tahun 2016 pada asalnya merupakan penyerahan sumbangan kenderaan van dwifungsi ke masjid-masjid dan surau yang boleh digunakan untuk pengurusan jenazah dan juga van penumpang.

“Namun pada tahun 2021, program ini telah diperluaskan ke pusat tahfiz, badan dan rumah kebajikan terpilih di Sabah dan Sarawak…

“Sumbangan van serbaguna ini turut bertujuan memenuhi tuntutan fardhu kifayah dan fardhu ain terutama dalam kalangan ahli kariah di masjid-masjid yang memerlukan di luar bandar.”

“Sehubungan itu, diharapkan agar sumbangan ini dapat membantu memudahkan urusan pentadbiran pihak pengurusan Pondok Fii Dzilalil Quran selain memberi manfaat kepada pelajar-pelajar tahfiz dalam memenuhi undangan keagamaan,” ujarnya pada Majlis Serahan Van Program Mobiliti TH 2022 Negeri Sabah di sini, hari ini.

Sebanyak lima buah masjid, institusi, sekolah tahfiz di Sabah dikenalpasti untuk menerima sumbangan van melalui Program Mobiliti TH termasuk Pondok Tahfiz Fii Dzilalil Quran.

Hadir sama, Pengarah Wilayah Sabah dan Sarawak TH, Datin Nurlaila Said, Pengarah TH Sabah, Yusdi Nasib, Pegawai Tadbir Agama Kota Belud, Surayah Salin, Penolong Pegawai Daerah Kota Belud, Abdul Wahab Sidek, Penolong Pegawai Tadbir Majlis Daerah Kota Belud, Fatin Wardiah Sabli dan Mudir Pondok Fii Dzilalil Quran, Zaipudin Ahmad.