KOTA KINABALU: Gelombang peletakan jawatan dalam PKR Sabah dipercayai bermula di Tuaran apabila Ketua Cabangnya, Razeef Rakimin, mengumumkan keluar parti dengan serta-merta pada Isnin.
Tindakan itu kemudian diikuti beberapa pemimpin lain, termasuk Timbalan Ketua Wanita PKR Sabah, Artini Ali Taugan, hari ini, yang turut meninggalkan parti serta melepaskan semua jawatan di peringkat negeri dan cabang.
“Saya harap keputusan ini tidak memutuskan hubungan dengan rakan-rakan dalam PKR,” katanya.
Turut mengambil langkah sama, Ahli Jawatankuasa Angkatan Muda Keadilan (AMK), Haziq Azfar Ishak yang menyatakan kekecewaan terhadap kelewatan pelaksanaan reformasi oleh PKR dan Pakatan Harapan.
Beliau berkata situasi itu semakin menghakis keyakinan rakyat, khususnya dalam kalangan pengundi muda, selain mewujudkan persepsi bahawa parti kini cenderung mempertahankan status quo.






