KERAJAAN NEGERI KOMITED DALAM PEMBANGUNAN ISLAM

KERAJAAN NEGERI KOMITED DALAM PEMBANGUNAN ISLAM

0
SHARE
Ruslan
Peserta Sandakan, Sarah Hayyin Zainun ketika menerima sijil Johan Hafazan Al-Quran Kategori Perempuan daripada Ruslan (tiga dari kiri) - ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan negeri akan terus komited memberi kerjasama penuh kepada Kerajaan Persekutuan dalam pembangunan umat Islam.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata ini adalah usaha membentuk masyarakat Madani yang mengutamakan nilai ukhuwah dan insani yang merupakan tuntutan ad-Din yang syumul.

“Pembentukan sahsiah unggul dalam diri tanpa mengira keturunan dan bangsa, penting bagi memastikan kehidupan masyarakat sentiasa positif dan stabil dalam semua aspek terutama akhlak serta sahsiah individu.

“Nilai modal insan inilah yang akan mencorakkan kepimpinan masa akan datang ke arah mencapai hasrat Kerajaan melalui Hala Tuju Sabah Maju Jaya(SMJ). 

“Tanpa adanya generasi yang berkualiti, sesebuah masyarakat bahkan negara akan lemah dan keterbelakang dalam arus perdana,” katanya.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ruslan Muharam pada Majlis Ihtifal Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Peringkat Negeri Sabah 2023/1445H di Masjid Bandaraya, pada Sabtu.

Tambah Hajiji lagi, melalui program ini pelajar-pelajar KAFA dapat menampilkan bakat dan kemahiran tilawah dan hafazan Al-Quran, bercerita sirah Nabi, penulisan khat dan jawi serta nasyid peringkat kelas sehingga kebangsaan.

“Selain itu, ia juga merapatkan hubungan silaturahim seluruh warga KAFA, ibu bapa pelajar, masyarakat dan pemimpin-pemimpin serta dapat membangun modal insan di peringkat awal kanak-kanak.

“Ini kerana penyelesaian kepada keruntuhan akhlak masa kini adalah melalui pengisian pendidikan agama seawal kanak-kanak lagi dan kembali menghayati ajaran Islam yang sebenar, iaitu bersumberkan Al-Quran dan As-Sunnah,” tambahnya.

Majlis Ihtifal anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Cawangan Sabah dengan kerjasama Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) kali ini melibatkan 500 pelajar KAFA seluruh Sabah.

Sebanyak enam kategori dipertandingkan iaitu Tilawah dan Hafazan Al-Quran, Nasyid, Bercerita Sirah Nabi, Penulisan Khat serta Jawi di mana Bahagian Tawau telah menjadi Johan Keseluruhan, Pedalaman Bawah tempat kedua manakala Bahagian Pantai Barat Selatan di tempat ketiga.

Hadir sama, Pengarah JAKIM Cawangan Sabah, Datuk Norjeli Dais, Timbalan Yang DiPertua MUIS,Malai Ali Malai Ahmad, Pengarah Pendidikan JAKIM, Hanifuddin Roslan dan Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Zakat dan Fitrah MUIS, Iwansuzairie Hari. — JABATAN PENERANGAN SABAH