Skuad Badminton Mara Ke Separuh Akhir Piala Sudirman 2021 Selepas Tumbangkan Indonesia...

Skuad Badminton Mara Ke Separuh Akhir Piala Sudirman 2021 Selepas Tumbangkan Indonesia 3-2

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Malaysia berjaya tumbangkan skuad berkumpulan badminton Indonesia 3-2 dalam aksi suku akhir Piala Sudirman 2021 di Vantaa, Finland, awal pagi tadi.

Ini adalah kemenangan pertama skuad negara ke atas Indonesia dalam saingan Piala Sudirman selepas tewas dalam dua pertemuan sebelum ini pada edisi 1999 dan 2011.

Kemenangan ini juga menempatkan skuad badminton negara melangkah ke Separuh Akhir menentang Jepun dalam perebutan tiket ke final pada jam 9 malam ini (waktu Malaysia).

Jepun melangkah ke kelompok empat terbaik selepas menewaskan Taiwan 3-1 dalam satu lagi aksi suku akhir.

Terdahulu, pada aksi perlawanan awal pagi tadi menjadikan beregu campuran, Hoo Pang Ron-Cheah Yee See sebagai wira skuad badminton negara apabila menyumbang mata kemenangan selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2.

Pang Ron-Yee See yang menghuni ranking ke-27 dunia mempamerkan prestasi menakjubkan untuk menumbangkan pasangan nombor empat dunia yang juga pemenang pingat emas Sukan SEA 2019, Praveen Jordan-Melati Daeva Oktavianti 21-19, 9-21, 21-16.

Beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik membuktikan kemenangan ke atas pasangan nombor satu dunia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo dengan keputusan ‘straight game’ 21-12, 21-15.

Walau bagaimanapun, Indonesia berjaya menyamakan kedudukan menerusi perseorangan wanita mereka, Gregoria Mariska Tunjung yang menewaskan S Kisona 22-20, 18-21, 21-19.

Turun dengan semangat juang tinggi, pemain perseorangan lelaki negara yang juga juara Seluruh England 2021, Lee Zii Jia kembali meletakkan Malaysia di depan dengan mata kedua menerusi kemenangan ke atas Anthony Sinisuka Ginting 21-11, 21-16.

Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah memberikan tentangan sengit kepada pemenang emas Olimpik Tokyo, Greysia Polii-Apriyani Rahayu sebelum tewas 20-22, 21-17, 18-21 untuk membolehkan Indonesia menyamakan kedudukan 2-2.

Pang Ron-Yee See memastikan kemenangan milik Malaysia apabila menghadiahkan mata kemenangan menerusi kejayaan menewaskan Praveen-Oktavianti.