Bekas Ketua Hakim Negara Tun Dr Mohamed Salleh Abas Meninggal Dunia Hari...

Bekas Ketua Hakim Negara Tun Dr Mohamed Salleh Abas Meninggal Dunia Hari Ini

0
SHARE

KUALA TERENGGANU – Bekas Ketua Hakim Negara Tun Dr Mohamed Salleh Abas, 91 meninggal dunia awal pagi tadi lebih kurang pada pukul 3.20 pagi akibat pneumonia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu Dr Nor Azimi Yunus, mengesahkan berita dukacita tersebut.

“Allahyarham meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Nur Zahirah,” katanya ringkas.

Berita kematian itu turut disahkan sendiri oleh anak Allahyarham, Natirah ketika dihubungi pemberita dan memaklumkan bahawa jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sheikh Ibrahim di Jalan Pusara, Kuala Terengganu.

Petugas Jabatan Kesihatan Terengganu yang lengkap berpakaian perlindungan diri (PPE) menguruskan pengebumian Allahyarham Tun Dr. Mohamed Salleh Abas di Tanah Perkuburan Islam Sheikh Ibrahim di Jalan Pusara di Kuala Terengganu, hari ini…

Allahyarham Mohamed Salleh meninggalkan isteri Toh Puan Junaidah Wan Jusoh dan lima anak serta 26 cucu.

Pada 1984, Mohamed Salleh dilantik menjadi ‘Lord President’ (kini Ketua Hakim Negara) di Mahkamah Agung (kini Mahkamah Persekutuan), sebelum dipecat semasa krisis Perlembagaan pada 1988.

Allahyarham juga merupakan seorang daripada tokoh yang membantu mendraf Rukun Negara pada 1970.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-10 pada 1999, Allahyarham menang atas tiket PAS di Dewan Undangan Negeri Jertih, bagaimanapun atas faktor kesihatan Mohamed Salleh tidak bertanding pada PRU ke 11 pada 2004.