Program Back To School MUIS Bantu 2,000 Kanak-kanak Asnaf

Program Back To School MUIS Bantu 2,000 Kanak-kanak Asnaf

0
SHARE
Muis
Malai Ahmad (dua dari kanan) merakamkan gambar kenangan bersama kanak-kanak asnaf dalam Program Back To School 2004 Daerah Papar ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

PAPAR, SABAH – Program Back To School 2024 oleh Majlis Agama Islam Sabah (MUIS) memberi manfaat kepada kira-kira 2,000 kanak-kanak asnaf di negeri ini.

Timbalan Pengerusi MUIS Datuk Malai Ali Malai Ahmad berkata program tahunan tersebut melibatkan peruntukan lebih RM500,000 dengan sasaran 10 daerah.

“MUIS melalui Bahagian Zakat Fitrah membelanjakan kira-kira RM600,000 keseluruhan atau RM60,000 setiap daerah bagi meringankan beban kewangan ibu bapa asnaf membeli keperluan sekolah anak mereka.

“Program sebegini merupakan acara tahunan MUIS yang telah melaksanakannya sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan dihentikan semasa pandemik Covid-19 tetapi diteruskan selepas PKP tamat,” ujar beliau.

Malai Ahmad memaklumkan, nilai program ini adalah ilmu pengetahuan yang diperoleh oleh kanak-kanak itu di sekolah masing-masing diharap dapat meningkatkan taraf hidup keluarga melalui pendidikan.

“Setiap kanak-kanak diberi RM300 untuk membeli keperluan sekolah seperti alat tulis, pakaian sekolah dan kasut dan sebagainya.

“Dengan wang yang diberikan kepada mereka, kami berharap berkat dana tersebut dapat menjadikan anak-anak cemerlang dalam pelajaran.

“Rata-rata ibu bapa berterima kasih kepada MUIS kerana menganjurkan program sebegini yang sangat membantu meringankan beban mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Back To School di Servay Takis, di sini pada Selasa.

Menurut beliau, pada tahun ini, Papar, Kota Kinabalu, Sepanggar, Sandakan, Tawau dan beberapa daerah dipilih untuk program terbabit.

“Mereka yang belum menerima sumbangan sebegini akan mendapatnya pada masa hadapan kerana asnaf ramai dan kita tidak membelanjakannya sekali gus,” katanya.

Tambah beliau, selain program bantuan kelengkapan sekolah, MUIS turut membiayai majlis berkhatan sempena cuti sekolah melibatkan kira-kira 500 anak asnaf berkhatan di seluruh Sabah. — JABATAN PENERANGAN SABAH