PAPAR: Seorang lelaki berusia 27 tahun terselamat selepas kereta jenis Perodua Myvi yang dipandunya hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar tiang lampu hingga terbakar sepenuhnya berhampiran Public Bank, Pekan Papar awal pagi tadi.
Menurut Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, PBK I Dahlan Jainudin, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.51 pagi dan tiba di lokasi seminit kemudian, kira-kira 500 meter dari balai.
“Mangsa sempat keluar sendiri sebelum api marak. Pasukan kami bertindak memadam kebakaran menggunakan satu aliran salur bantu mula,” katanya.
Kebakaran berjaya dikawal pada jam 3.00 pagi dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada 3.28 pagi selepas memastikan kawasan selamat.
Tiada kecederaan dilaporkan dan punca kejadian masih dalam siasatan.






