KOTA KINABALU: Persatuan Wartawan Sabah (SJA) pada Isnin mengumumkan pembukaan penyertaan bagi Kinabalu Press Awards (KPA) 2026 dengan memperkenalkan dua kategori baharu, sekali gus menjadikan keseluruhan lapan kategori dipertandingkan tahun ini.
Dua kategori baharu berkenaan ialah ‘Entertainment, Culture and Arts Photography Award’ serta ‘Promising Journalist Award’ (Anugerah Wartawan Harapan) yang diperkenalkan bagi menggalakkan penyertaan lebih ramai wartawan muda serta memberi ruang kepada jurugambar memperluaskan liputan berkaitan budaya tempatan, seni, industri muzik dan artis tempatan.
Presiden SJA, Mariah Doksil berkata, penambahan kategori itu mencerminkan komitmen persatuan dalam memperkasa profesion kewartawanan di Sabah.
“Kami mahu membuka lebih banyak ruang kepada wartawan muda untuk menyerlahkan bakat dan potensi mereka. Pada masa sama, kategori fotografi baharu ini memberi peluang kepada pengamal media mempromosikan kekayaan budaya dan seni tempatan melalui karya visual yang berkualiti,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Menurut beliau, tarikh tutup penyertaan KPA 2026 adalah pada 15 Mac 2026 (Ahad) dan penyertaan terbuka kepada wartawan, jurugambar serta penerbit daripada media cetak, elektronik dan dalam talian di Sabah serta Wilayah Persekutuan Labuan.
SJA turut melantik Malaysian Press Institute (MPI) sebagai Sekretariat Pengurusan Penyertaan dan Penghakiman KPA 2026, sekali gus memastikan proses penilaian dilaksanakan secara profesional dan telus.
Mariah berkata, bagi meneruskan prestij penganjuran KPA, setiap penyertaan digalakkan menghantar artikel berimpak tinggi yang bukan sahaja mampu bersaing di peringkat negeri, malah berpotensi diketengahkan ke peringkat nasional seperti Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM).
Penyertaan hanya dibuka untuk laporan berita yang diterbitkan antara 1 Januari hingga 31 Disember 2025 dan perlu dihantar secara dalam talian melalui laman web rasmi yang ditetapkan.
Peserta juga dinasihatkan supaya menggunakan pelayar web Google Chrome atau Microsoft Edge bagi mengelakkan sebarang isu teknikal semasa proses penghantaran.
Sebarang pertanyaan berkaitan kategori, hadiah serta syarat dan peraturan pertandingan boleh dirujuk melalui laman web rasmi atau menghubungi Pengerusi Jawatankuasa Penganjur KPA 2026, Mohd Nazllie Zainul atau Setiausaha SJA, Siti Aisyah Narudin.






