Pertemuan Shafie, Jeffrey di Perasmian Kaamatan Keningau Cetus Persoalan Politik Sabah

Pertemuan Shafie, Jeffrey di Perasmian Kaamatan Keningau Cetus Persoalan Politik Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU: Pertemuan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Jeffrey Kitingan pada Majlis Perasmian Pesta Kaamatan Keningau 2026 mencetuskan persoalan politik dalam kalangan rakyat susulan kehadiran kedua-dua pemimpin itu dalam suasana mesra di majlis rasmi berkenaan pada Ahad.

Perkara itu dibangkitkan Pemangku Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Azrul Ibrahim yang meminta pemimpin STAR tampil memberikan penjelasan secara terbuka bagi mengelakkan salah tafsir terhadap komitmen politik mereka kepada kerajaan negeri sedia ada.

Menurut Azrul yang juga Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, kemunculan Ketua Pembangkang bersama Jeffrey serta seorang lagi wakil rakyat STAR dalam majlis itu menimbulkan pertanyaan dan kegusaran rakyat.

“Hal ini kerana kedua-dua pemimpin tersebut merupakan wakil rakyat pro kerajaan yang diberi mandat untuk mempertahankan kestabilan serta solidariti Kerajaan Negeri Sabah pada hari ini.

“Sehubungan itu, kedua-dua ADUN berkenaan wajar tampil memberikan penjelasan dan menyatakan pendirian secara terbuka bagi meredakan kemusykilan yang timbul serta mengelakkan sebarang salah tafsir terhadap komitmen dan kesetiaan politik mereka kepada kerajaan sedia ada,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, semalam.

Beliau berkata, penjelasan yang jelas dan berterus terang amat penting demi memelihara keyakinan rakyat terhadap keutuhan dan kestabilan kerajaan negeri.

Terdahulu, Shafie menerusi hantaran di Facebook memaklumkan beliau menghadiri Sambutan Kaamatan di Keningau atas jemputan Jeffrey.

“Terima kasih Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan atas jemputan ke Sambutan Kaamatan di Keningau hari ini.

“Kaamatan sentiasa menjadi ruang untuk kita berkumpul, bertemu sahabat lama dan meraikan budaya serta tradisi yang menyatukan rakyat Sabah tanpa mengira latar belakang.

“Suasana yang cukup mesra dan meriah. Kotobian Tadau Tagayo Do Kaamatan,” katanya.