LAHAD DATU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Lahad Datu menahan sebuah bot nelayan asing yang disyaki melakukan aktiviti perikanan secara haram di perairan Felda Sahabat, Tungku, semalam.
Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata, tangkapan dilakukan sekitar pukul 10.30 pagi oleh pasukan bot ronda.
Katanya, bot berwarna putih biru tanpa nombor pendaftaran sah itu dikesan berada kira-kira 4.1 batu nautika di selatan Tanjung Tungku.
“Pemeriksaan mendapati seorang lelaki warga asing berusia 28 tahun berada di atas bot tersebut dan gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri atau permit sah untuk menjalankan aktiviti perikanan di perairan negara ini.
“Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959 dan Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah. Nilai tangkapan dianggarkan sekitar RM300,000,” kata Dzulfikhar dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, kesemua barang rampasan serta suspek dibawa ke Jeti Maritim Lahad Datu untuk tindakan lanjut oleh pegawai penyiasat Maritim Malaysia.