156 Ketua Adat Tujuh DUN Terima Penghargaan

156 Ketua Adat Tujuh DUN Terima Penghargaan

0
SHARE

KOTA KINABALU: Seramai 156 ketua adat dari tujuh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah pentadbiran Mahkamah Anak Negeri Kota Kinabalu menerima Sijil Penghargaan sempena Majlis Makan Malam Penghargaan dan Sanjungan Kasih Ketua Adat di The Palace Hotel, di sini, semalam.

Majlis disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam yang merakamkan penghargaan atas jasa dan komitmen ketua-ketua adat dalam memelihara keharmonian dan perpaduan masyarakat melalui kepimpinan berteraskan adat dan budaya.

“Lebih istimewa, pada malam ini juga, seramai 156 orang ketua adat menerima Sijil Penghargaan, sebagai pengiktirafan atas khidmat bakti mereka dalam mengekalkan perpaduan dan keharmonian komuniti,” katanya.

Menurut beliau, penganugerahan itu mencerminkan penghargaan masyarakat terhadap ketua adat yang memainkan peranan penting dalam memastikan kelangsungan nilai dan warisan tempatan terus terpelihara.

Katanya, majlis ini buat julung kalinya menghimpunkan pemimpin-pemimpin adat dari tujuh DUN iaitu Karambunai, Darau, Inanam, Likas, Api-Api, Luyang dan Tanjung Aru.

Dalam majlis sama, enam mantan Ketua Daerah turut menerima Sijil Penghargaan “Jasamu Dikenang” sebagai tanda penghormatan atas sumbangan besar mereka dalam membina asas kukuh institusi adat di kawasan masing-masing.

Dr. Joachim berkata, majlis seperti ini bukan sekadar acara penghargaan, malah mencerminkan komitmen kerajaan dalam terus memartabatkan institusi adat sebagai tunjang pembangunan masyarakat.

“Saya percaya penghargaan yang diberikan malam ini bukan sahaja menyuntik semangat kepada ketua-ketua adat untuk terus berbakti, tetapi juga memberi inspirasi kepada generasi muda untuk memahami dan menghargai nilai adat dan budaya,” katanya.

Majlis tersebut dianjurkan bagi menghargai jasa dan dedikasi para pemimpin adat yang sering menjadi penghubung antara masyarakat dan institusi kerajaan, serta memainkan peranan penting dalam menyelesaikan pertikaian dan menjaga keharmonian kampung.

Dr. Joachim juga berharap agar perjumpaan seperti ini akan diteruskan pada masa hadapan dan Kerajaan sedia ada amat menyokong inisiatif seperti ini.

Dalam pada itu, Dr Joachim juga menyeru semua yang hadir memberikan sokongan sepenuhnya kepada Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam pilihanraya umum akan diadakan tidak lama lagi pada tahun ini.

Turut hadir Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Isnin Aliasnih; Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr. Jamili Nais; Presiden Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah. Dr. Benedict Topin; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah, Haji Nordin Lossin; pengerusi penganjur bersama OKK Edna Jessica Majimbun dan OKK Yakob Haris serta mantan-mantan Ketua Daerah.