KOTA KINABALU: Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun cedera selepas kereta jenis Perodua Myvi yang dipandunya terbabas lalu melanggar sebatang pokok dalam kejadian awal pagi berhampiran showroom BMW di Jalan Tuaran Bypass, di sini.
Dalam usaha menyelamatkan mangsa yang tersepit, pasukan Bomba dan Penyelamat dari Balai Lintas terpaksa menggunakan peralatan khas untuk “membelah” struktur kereta demi mengeluarkan mangsa dengan selamat.
Menurut Komander Operasi PBK II Lawrence Matusin, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.41 pagi dan tiba di lokasi empat minit kemudian.
Operasi menyelamat tamat sepenuhnya kira-kira jam 6.05 pagi selepas keadaan disahkan selamat.
“Kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang terbabas sendiri dan melanggar pokok.
“Mangsa tersepit di dalam kenderaan dan berjaya dikeluarkan menggunakan peralatan khas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut.
Keadaan semasa mangsa tidak didedahkan, namun beliau dilaporkan mengalami kecederaan.
Operasi turut disertai oleh lapan anggota bomba serta jentera FRT dan EMRS.
Polis turut berada di lokasi bagi membantu kawalan lalu lintas dan siasatan lanjut.