3 Kilang, 12 Pekerja Dikompaun Langgar SOP Dalam Ops Patuh Di Sabah

3 Kilang, 12 Pekerja Dikompaun Langgar SOP Dalam Ops Patuh Di Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Tiga kilang dan 12 pekerja kawasan Menggatal dan Inanam dikompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) dalam operasi seluruh negara ‘Ops Patuh’.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Mohd Zaidi Abdullah berkata operasi itu dijalankan bersama Dewan Bandaraya, Kementerian Kesihatan dan anggota RELA ke atas 10 kilang tadi.

“Tiga kilang didenda kerana beroperasi tanpa surat kebenaran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), sementara 12 pekerja kilang dikompaun kerana melanggar SOP,” katanya semasa pemeriksaan di salah sebuah kilang semalam.

Pasukan polis dan penguatkuasa memeriksa kilang semasa Ops Patuh di Menggatal…

“Tiga kilang itu masing-masing dikompan RM10,000, manakala 12 pekerja masing-masing dikompaun RM1,500 kerana tidak mematuhi SOP dan tidak mengimbas MySejahtera selain jumlah pekerja yang melebihi kapasiti,” katanya.

Mohd Zaidi berkata antara kilang yang diperiksa adalah di industri besi, pembuatan plastik, minuman dan polisterin.

Pekerja kilang dikompaun beramai-ramai oleh pihak berkuasa tempatan kerana melanggar SOP…

Dia menambah bahawa ketiga-tiga kilang yang didenda mengaku tidak menyedari SOP yang ada bagi sektor perkilangan.

Katanya, Ops Patuh akan berterusan dari semasa ke semasa sehingga penguatkuasaan yang melibatkan COVID-19 selesai.

Penguatkuasaan Ops Patuh secara besar-besaran berkuat kuasa pada 1 Julai yang diumumkan oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Operasi itu melibatkan 12 agensi di bawah 21 kementerian untuk memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Tahap Satu Kawalan Pergerakan di bawah Pelan Pemulihan Nasional.

Polis bersama dengan pihak berkuasa tempatan akan melakukan pemeriksaan ‘snap check’ di lokasi tertentu, termasuk kilang, tempat kerja dan premis perniagaan dalam usaha menurunkan kes COVID-19 di negara ini.