
RANAU, SABAH – Kursus Kenegaraan Pengamal Media dapat memupuk semangat cintakan negara.
Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor berkata kursus tersebut turut menyeru para peserta agar memelihara identiti kebangsaan dalam menyemarakkan semangat cintakan negara.
“Saya dimaklumkan, sepanjang tiga hari berkursus, para peserta didedahkan dengan maklumat-maklumat berkaitan kenegaraan.
“Dari itu, kita seharusnya terus berusaha memelihara dan menyemarakkan identiti kebangsaaan seperti yang kita laksanakan pada bulan Ogos hingga September yang merupakan tempoh kita melaksanakan pelbagai program bertujuan menaikkan semangat kenegaraan dan cintakan negara.
“Kepada para peserta, sekiranya pengisian kursus merupakan sesuatu yang kita dah tahu, anggap ianya proses menyegarkan semula ilmu yang kita dah tahu.
“Namun, sekiranya benda tersebut kita tidak pernah tahu, maka jadikan ia sebagai ilmu tambahan pada pengetahuan yang boleh diguna dan disebarkan semasa sesi berceramah, sembang-sembang warung bersama masyarakat sehingga ke akar umbi,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penutupan Kursus Kenegaraan Pengamal Media di Pusat Latihan Kenegaraan, Kundasang pada Ahad.
Kursus yang dianjurkan oleh Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) Jabatan Perdana Menteri dihadiri oleh seramai 36 peserta terdiri daripada kakitangan Jabatan Penerangan (JaPen) Negeri Sabah seluruh Sabah dan berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat .
Jainisah turut menekankan aktiviti bersemuka dalam penyampaian maklumat kakitangan JaPen masih kekal relevan dalam kepesatan teknologi digital.
“JaPen sudah berusia 114 tahun merupakan antara agensi yang begitu lama wujud dan melalui pelbagai fasa, pelbagai cabaran dan rintangan namun dengan bantuan kakitangan kita yang berada di daerah, kita masih kekal relevan menyesuaikan perkhidmatan seiring dengan arus pemodenan digital dan teknologi.
“Memandangkan masyarakat kita di Sabah masih ada lagi yang tidak mendapat liputan internet secara menyeluruh, aktiviti bersemuka masih kita laksanakan dan kekal relevan dalam menyampaikan maklumat berkaitan dasar kerajaan dan negara.
“Justeru itu, ambillah ilmu pengetahuan yang dipelajari dari sini lalu manfaatkan kepada masyarakat yang berada di daerah-daerah pedalaman yang belum terdedah dengan penggunaan teknologi,” ujar beliau.
Turut hadir, Penolong Pengarah Kanan Bahagian Domain Digital dan Media, Akademi Kenegaraan Malaysia Pejabat Perdana Menteri merangkap Penyelaras Program, Mohamad Syahffie Japril dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Media dan Komunikasi Korporat, Dr. Diana Dominic yang juga Ketua Urusetia JaPen. — JABATAN PENERANGAN SABAH





