64 Sertai Bengkel Teknik Penjurian dan Dandanan Unduk Ngadau

64 Sertai Bengkel Teknik Penjurian dan Dandanan Unduk Ngadau

0
SHARE
Peto
Pereka fesyen, December Teo (kiri) menerima Sijil Penjurian Profesional yang disampaikan oleh Peto (dua dari kiri) sambil disaksikan oleh Joanna (kanan) dan Angela (dua dari kanan)

KOTA KINABALU, SABAH – Seramai 64 peserta menyertai Bengkel Teknik Penjurian dan Dandanan Unduk Ngadau anjuran Kadazan Dusun Cultural Association (KDCA) Karambunai.

Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan II, Peto Galim berkata bengkel tersebut amat bermakna bagi melatih dalam pemilihan seorang Unduk Ngadau yang berkebolehan dan layak memegang gelaran tersebut.

“Kita mempunyai ilmu yang bergerak seiring dengan peredaran zaman yang mana pemilihan pada dua puluh tahun atau lima tahun yang lalu berbeza dengan teknik pemilihan di era digital saat ini.

“Banyak perubahan dan elemen yang perlu kita lihat selain mewujudkan juri yang bertanggungjawab dan tahu teknik atau kriteria yang diadili.

“Oleh yang demikian, gunalah ilmu kepakaran yang telah dipelajari dikongsi bersama generasi anak muda kerana usia kita ini semakin meningkat,” katanya semasa merasmikan majlis penutupan bengkel berkenaan.

Dalam pada itu, Pengerusi KDCA Karambunai, Datin Angela Kok berkata, tujuan bengkel diadakan adalah untuk memberi pendedahan kepada para peserta mengenai asas-asas penjurian yang berkesan.

“Ini termasuklah kriteria dan definisi untuk penilaian, memahami unsur budaya dan kerohanian Unduk Ngadau, evolusi pakaian tradisional etnik dan demonstrasi tatarias diri dan dandanan rambut.

“Selain itu juga, kesaksamaan dan keadilan dalam penjurian juga harus dititikberatkan kerana pemarkahan ini penentu kepada si pemenang,” katanya lagi.

Beliau yang juga Pengerusi Pelaksana Pertandingan Unduk Ngadau KDCA Inanam dan KDCA Karambunai 2024 mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur, para penceramah dan peserta atas sokongan dan komitmen dalam menjayakan bengkel tersebut. — JABATAN PENERANGAN SABAH