KOTA KINABALU, SABAH – Pasukan Polis Marin Kota Kinabalu berjaya menahan beberapa individu yang disyaki terlibat ketika dalam percubaan mengebom ikan di perairan Kota Belud pada tengahari semalam dalam satu operasi Op Benteng/Op Gelora Khas.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi Pasukan Polis Marin Kota Kinabalu, ASP Roslan Bin Awang berkata, bertindak atas maklumat awam dan risikan, pihak kami telah merancang satu operasi dengan teliti bagi menumpaskan aktiviti pengeboman ikan di Perairan Taburan, Kota Belud.
“Dalam operasi tersebut, kelihatan sebuah Pump Bot dan sebuah Bot kayu dalam keadaan mencurigakan sedang berlegar-legar di Perairan Taburan, Kota Belud. Seramai 3 orang lelaki berusia dalam lingkungan umur 26 hingga 52 tahun telah berjaya dikejar dan ditahan ketika cuba memecut ke arah Pulau Silad. Pemeriksaan lanjut telah dilakukan terhadap Bot Kayu menggunakan enjin sangkut tersebut dan telah menemui beberapa beberapa peralatan yang disyaki digunakan bagi aktiviti mengebom ikan iaitu 2 Unit Detonator siap dipasang bersama Sefety Fuse, Butiran Putih dipercayai Baja Ammonium Nitrate disimpan siap dalam 4 Unit Botol Kaca, 10 Unit Safety Fuse 7 Inci, sekotak Mancis Kayu, lain-lain peralatan dan 10kg pelbagai jenis ikan disyaki diperolehi dengan cara mengebom ikan.”

“Manakala, sebuah lagi Pump Bot telah memecut laju ke arah Pulau Silad dan kelihatan 02 orang lelaki telah melarikan diri ke arah persisiran pantai.”
Namun, menurut Roslan berkata ‘Pump Bot’ yang ditinggalkan tersebut turut diperiksa dan telah menemui sebiji botol yang berisi butiran putih dipercayai ‘Baja Ammonium Nitrate’ siap dipasang dengan ‘Detonator dan Safety Fuse’, sekotak mancis kayu, dua unit cermin selam, jaring ikan, lain-lain peralatan dan 5kg pelbagai jenis ikan disyaki diperoleh dengan cara mengebom ikan.

Kesemua Tangkapan dan Rampasan dibawa ke IPD Kota Belud untuk tindakan lanjut.
Keseluruhan nilai rampasan melibatkan sebuah bot kayu bersama enjin sangkut, sebuah ‘Pump Bot’ dan lain-lain peralatan yang dianggarkan bernilai RM32,000.

Kes disiasat Akta Bahan Letupan 1957 dan Sek 26(1)(c) Akta Perikanan 1985.
Pihak Pasukan Polis Marin menggalakkan masyarakat persisir pantai dan maritim khususnya untuk menyalurkan apa-apa maklumat melalui aplikasi whatsApp Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah di nombor 013-2831197 bagi memastikan keselamatan dan kemakmuran setempat terjaga dan terkawal.





