Lebih 800 Murid Sekolah Orang Asli Terima Bantuan Persekolahan

Lebih 800 Murid Sekolah Orang Asli Terima Bantuan Persekolahan

0
SHARE
Ewon ketika berucap pada Majlis 'Back To School'

PERAK:Yayasan Bank Rakyat (YBR) menyalurkan bantuan persekolahan sejumlah RM40,600 kepada seramai 812 murid sekolah orang asli pada Khamis (1 Feb).

Bantuan persekolahan itu disampaikan pada Majlis ‘Back To School’ Masyarakat Orang Asli Perak, di SK Pos Tenau, Slim River yang disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.

Ewon ketika ditemui media berkata, YBR telah melaksanakan bantuan persekolahan sejak tahun 2015 bagi meringkan bebanan ibu bapa atau penjaga dalam membuat persiapan anak-anak memulakan dan meneruskan sesi persekolahan.

Katanya, bantuan berbentuk wang tunai itu diberikan khusus kepada keluarga B40 bagi membantu pembelian kelengkapan persekolahan anak-anak seperti baju, beg, kasut sekolah dan sebagainya.

“Saya ingin melihat Yayasan Bank Rakyat terus diperkasakan dan seterusnya dapat membantu lebih ramai lagi murid-murid yang memerlukan bantuan persekolahan di seluruh negara.

 

“YBR bukan sahaja memberikan bantuan kepada sekolah rendah dan menengah tetapi menyediakan pembiayaan pengajian boleh ubah kepada pelajar di institut pengajian tinggi,” katanya.

Ewon pada masa sama berharap, program seumpama itu dapat diteruskan dan dana bantuan persekolahan dapat ditambah pada masa akan datang bagi membolehkan lebih ramai pelajar menerima manfaatnya.

“Ini selaras dengan wawasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan matlamat kerajaan untuk menoktahkan kemiskinan bermula dengan penyaluran bantuan pendidikan atau pembiayaan pengajian kepada murid-murid yang memerlukannya terutama di kalangan masyarakat B40,” katanya.