PENDUDUK DIMINTA AMALKAN SOP COVID-19, TUARAN DIISYTIHAR ZON MERAH

PENDUDUK DIMINTA AMALKAN SOP COVID-19, TUARAN DIISYTIHAR ZON MERAH

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan negeri mengesahkan Tuaran menjadi zon merah COVID-19 susulan daerah terbabit mencatatkan mendadak jumlah kes positif sepanjang minggu lalu.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Joachim Gunsalam, berkata daerah terbabit mencatatkan sebanyak 26 kes baharu sepanjang minggu lalu, berbanding 18 kes pada minggu sebelum itu.

Menurutnya, Tuaran adalah satu-satunya daerah mencatat kes paling banyak ketika ini menyebabkannya kembali ke zon merah dengan jumlah kes positif melebihi 40.

“Analisis kes COVID-19 bagi Minggu Epid (ME) 19/2023 (minggu lalu), hanya tiga daerah yang mencatatkan penurunan kes mingguan iaitu Kinabatangan, Lahad Datu dan Tawau.

“16 daerah yang lain tidak mencatatkan sebarang kes iaitu Putatan, Ranau, Kudat, Kota Marudu, Pitas, Sipitang, Tambunan, Tenom, Nabawan, Tongod, Semporna, Kalabakan, Telupid, Kinabatangan, Lahad Datu dan Tawau.

“Daerah yang mencatatkan peningkatan jumlah kes pada ME 19 berbanding ME 18 iaitu Tuaran, Sandakan, Kota Kinabalu, Kuala Penyu, Papar, Penampang, Beluran, Kota Belud, Beaufort, Keningau dan Kunak.

“Tiada kes kematian akibat COVID-19 dilaporkan di seluruh negeri bagi ME 19,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media perkembangan mingguan COVID-19 negeri Sabah yang dikeluarkan.

Dalam pada itu, Joachim turut  berkata jumlah kes baharu pada ME 19/2023 di seluruh Sabah telah meningkat sebanyak 68 peratus kepada 64 kes berbanding 38 kes pada minggu sebelumnya.

Susulan itu, katanya orang ramai diminta terus mengamalkan langkah pencegahan terutama pemakaian pelitup muka di tempat ramai dan sesak berikutan trend kes positif COVID-19
menunjukkan peningkatan.