Kerjasama Strategik KUSKOP, SESB Perkukuh Pembangunan Vendor di Sabah

Kerjasama Strategik KUSKOP, SESB Perkukuh Pembangunan Vendor di Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) memperkukuh agenda pembangunan vendor di Sabah melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) bagi pelaksanaan Program Pembangunan Vendor (PPV) di bawah inisiatif pembangunan vendor nasional.

Majlis menandatangani MoU itu disaksikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, yang menyifatkan pelantikan SESB sebagai Anchor pertama dari Sabah sebagai langkah strategik memperkukuh ekosistem perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan.

Beliau berkata, pelantikan itu sejajar dengan hasrat Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) dan agenda Kerajaan MADANI untuk memperluas penyertaan usahawan tempatan dalam rantaian bekalan nasional dan serantau.

“Kerjasama strategik ini bukan sahaja akan meningkatkan keupayaan teknikal dan inovasi vendor Bumiputera tempatan, malah membuka peluang baharu dalam sektor tenaga serta memperkukuh jaringan bekalan industri di Sabah,” katanya.

Menurutnya, kehadiran syarikat Anchor baharu dari Sabah akan memperkukuh agenda pembangunan vendor negeri melalui peluasan akses pasaran, peningkatan daya saing dan kerjasama strategik dengan sektor swasta.

“Kita yakin inisiatif ini mampu menjana limpahan ekonomi kepada komuniti usahawan tempatan dan memperkukuh ekosistem PMKS di negeri ini,” tambahnya.

Di bawah pelaksanaan PPV, KUSKOP menyediakan insentif potongan cukai dua kali ganda kepada syarikat Anchor yang terlibat dalam pembangunan vendor Bumiputera, manakala SESB akan melaksanakan program pembangunan kapasiti bagi vendor terpilih di Sabah.

Setakat September 2025, sebanyak 20 syarikat vendor telah berdaftar di bawah program pembangunan vendor di Sabah, melibatkan lima Anchor sedia ada termasuk SD Guthrie, TM Technology Services Sdn. Bhd., Uzma Engineering Sdn. Bhd., TH Plantations Berhad dan Ameen Products Sdn. Bhd.

Bagi tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), Sabah merekodkan tujuh penerima manfaat di bawah dua program utama iaitu Geran Inovasi dan Pengkomersialan Vendor (GIPV) serta Program Pembangunan Kapasiti Vendor (PPKV) dengan jumlah pembiayaan RM3 juta.

Sementara itu, bagi RMK-13, KUSKOP menyasarkan 15 penerima manfaat di Sabah, bersamaan 12.5 peratus daripada sasaran nasional, melibatkan lima penerima GIPV dan 10 penerima PPKV dengan keseluruhan pembiayaan RM57 juta, termasuk RM11.5 juta bagi fasa pertama 2026 (RP1).

MoU antara KUSKOP dan SESB itu berkuat kuasa selama tiga tahun dan akan dilanjutkan secara automatik untuk tempoh tambahan tiga tahun sekiranya tiada notis pembatalan daripada pihak Anchor.

Datuk Ewon turut menegaskan bahawa walaupun MoU ini tidak mengikat secara perundangan, ia memastikan kepentingan semua pihak termasuk kerajaan sentiasa terpelihara secara adil dan saksama.

Beliau berkata, KUSKOP akan terus menjadi peneraju dalam memperkasa vendor tempatan, memacu pertumbuhan ekonomi inklusif serta memperluas peluang pasaran sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan kesejahteraan, kemampanan dan keadilan ekonomi untuk rakyat.

Dalam pada itu, salah satu vendor, Federal Power Sdn Bhd melahirkan penghargaan kepada SESB kerana menganjurkan program ini.

Pengerusinya, Datuk Seri NW Hisham Abdul Wahab berkata syarikatnya yang membekal pelbagai jenis kabel merancang untuk membuka sebuah kilang pembuatan di Sabah pada tahun hadapan.

“Terima kasih kepada SESB kerana menjemput kami sebagai vendor. Sebagai vendor Bumiputera, kami diberi peluang mengetengahkan produk masing-masing,” katanya.

Syarikat Federal Power Sdn Bhd mengkhusus dalam pembuatan pelbagai jenis kabel dan konduktor yang memenuhi pelbagai keperluan, spesifikasi serta piawaian antarabangsa seperti Piawaian British (BS), Piawaian Industri Jepun (JIS), Jawatankuasa Elektroteknikal Antarabangsa (IEC), Piawaian Malaysia (MS) Dan Piawaian Brunei (DES).