SEMPORNA – Tindakan parti pembangkang menggunakan taktik serangan peribadi untuk menjatuhkan pemimpin UMNO dan BN di negeri ini disifatkan sebagai ketandusan modal untuk meraih undi rakyat.
Memetik kenyataan Bernama, Pemangku Ketua UMNO Bahagian Semporna, Datuk Seri Nasir Sakaran berkata sebelum ini, serangan persepsi sering dilakuKlkan pembangkang untuk menjatuhkan reputasi dan kredibiliti pemimpin UMNO dan BN namun ternyata cara kotor itu tidak menganggu-gugat pemimpin parti untuk konsisten dalam membantu rakyat.
“Kita berpolitik matang, di pihak kerajaan kita tidak membuat serangan peribadi terhadap pembangkang.
“Setiap tohmahan fitnah pembangkang kepada kerajaan kita ambil pendekatan dengan menerangkan perkara sebenar kepada rakyat daripada menyerang peribadi atau menanam persepsi negatif,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis konvokesyen mini kanak-kanak tabika kemas gabungan Dewan Undangan Negeri Sulabayan dan Senallang di sini, hari ini.
Kenyataan Nasir yang juga Adun Senallang itu sebagai mengulas tindakan beberapa pemimpin Parti Warisan Sabah (Warisan) yang cuba memanipulasi keadaan berhubung kekayaan yang dimiliki pemimpin UMNO dan BN di negeri ini.
Dalam pada itu, beliau berkata kemasukan anggota Warisan ke dalam UMNO akan memberi dorongan serta kekuatan semangat kepada jentera UMNO untuk bekerja lebih keras bagi PRU14.
Nasir berkata, penyertaan anggota Warisan dalam UMNO membuktikan bekas anggota pembangkang itu juga bersetuju bahawa dasar perjuangan UMNO adalah terbaik.
“Bagi mereka UMNO dan BN membawa harapan tinggi untuk membantu rakyat dalam apa juga keadaan termasuk sewaktu bencana banjir dan kebakaran,” katanya.
Mengulas lanjut, Nasir berkata kemasukan beramai-ramai anggota Warisan ke dalam Umno pada minggu lepas bukan gimik tetapi kenyataan yang perlu diterima parti haluan kiri tersebut.
Pada Sabtu lepas di Kampung Bangau-Bangau di sini, Bibi Sangalani mengetuai 29 kelompok melibatkan 1,020 anggota Warisan keluar parti dan menyerahkan borang keanggotaan kepada wakil UMNO iaitu Pembantu Menteri Kewangan Sabah merangkap Adun Bugaya, Datuk Ramlee Marahaban.