SPRM Mula Siasat Pegawai Kanan MARA Pada Isnin Ini

SPRM Mula Siasat Pegawai Kanan MARA Pada Isnin Ini

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Beberapa Pegawai Kanan Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan mula disiasat pada Isnin (7 Feb) ini oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan salah guna kuasa.

Siasatan berkenaan akan bermula dengan mengambil keterangan beberapa saksi daripada MARA Corporation (MARA Corp), demikian menurut SPRM dalam satu kenyataan malam tadi.

“SPRM memandang serius dakwaan wujud isu integriti membabitkan beberapa pegawai kanan MARA yang sedang disiasat secara dalaman oleh agensi berkenaan…

“Susulan itu, SPRM telah menerima satu aduan berkaitan isu ini dan akan memulakan siasatan pada 7 Februari 2022 dengan mengambil keterangan beberapa saksi daripada MARA Corporation,” kata suruhanjaya berkenaan.

Terdahulu pada Jumaat, Pengerusi MARA, Datuk Seri Azizah Mohd Dun, menafikan berlaku salah guna kuasa atau urus tadbir dalam agensi itu dan anak syarikatnya seperti didakwa menerusi satu dokumen yang tular di media sosial.

Beliau bagaimanapun berkata, MARA tidak memandang ringan dakwaan itu dan tidak akan berkompromi atau melindungi mana-mana individu terbabit dalam salah guna kuasa atau tidak berintegriti.

Datuk Azizah Mohd Dun…

SPRM dalam kenyataan sama turut memaklumkan siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009, iaitu berkaitan pegawai badan awam yang menggunakan jawatan atau kedudukan untuk mendapatkan suapan.

Pendedahan mengenai salah guna kuasa itu dibuat satu pemilik akaun Twitter menerusi ciapan bersama lampiran enam helai surat berhubung integriti pegawai MARA.