Peruntukan Pembangunan Sabah RM6.6 Bilion Komitmen Kerajaan Perpaduan

Peruntukan Pembangunan Sabah RM6.6 Bilion Komitmen Kerajaan Perpaduan

0
SHARE
Peto
Peto (dua kiri) melawat Jualan Agro Madani ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

INANAM, SABAH – Peruntukan pembangunan berjumlah RM6.6 bilion untuk negeri ini menerusi Belanjawan 2024 membuktikan komitmen Kerajaan Perpaduan menyeimbangkan kemajuan di Sabah.

Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan, dan Industri Makanan, Peto Galim berkata sejumlah projek pembangunan akan dilaksanakan dengan membaik pulih sekolah daif dan memperkasa capaian perkhidmatan kesihatan.

“Kerajaan turut meneruskan pemberian rebat bil elektrik sehingga RM40 sebulan kepada isi rumah miskin tegar dengan peruntukan RM55 juta termasuk pengecualian bayaran deposit akaun bil elektrik atas nama sendiri bagi meringankan beban rakyat.

“Peruntukan ini meletakkan kepentingan rakyat sebagai agenda utama kerana mereka merupakan sumber kekuatan paling utama, benih kepada pertumbuhan ekonomi,” katanya semasa merasmikan Program Semarak Komuniti Kampung Kobuni, pada Sabtu.

Peto yang juga ADUN Inanam menjelaskan kawasan tersebut yang terdapat 60 buah kampung dan antara kawasan terbesar di Sabah memerlukan pelan pembangunan yang tepat.

“Kita akan cuba menerapkan pola pemikiran berniaga kepada semua penduduk khususnya yang berada jauh dari bandar.

“Selain itu, kita berharap masalah infrastruktur yang dihadapi di kawasan dapat dipertimbangkan bantuan penyelesaiannya kerana memberi kesan kepada penduduk membawa hasil pertanian seperti buah-buahan ke bandar.

“Penubuhan pusat-pusat perniagaan baharu juga boleh diwujudkan, selain pembinaan sekolah menengah di kawasan berbukit,” ujarnya.

Peto berharap agar golongan muda tidak lagi mudah berpuas hati apabila ada kelulusan tetapi berusaha juga mendapatkan pendapatan dari sumber pertanian dan perniagaan.

“Golongan suri rumah disarankan mencari aktiviti atau kepakaran tertentu yang boleh mendatangkan sumber ekonomi,” katanya lagi.

Menerusi Belanjawan 2024, kategori baharu isi rumah miskin dan miskin tegar di bawah data eKasih akan menerima sumbangan maksimum RM3, 700 setahun mulai Januari 2024 berbanding RM3, 100 tahun sebelumnya. — JABATAN PENERANGAN SABAH