Royal Enfield Komited Tingkatkan Kesedaran Keselamatan Jalan Raya

Royal Enfield Komited Tingkatkan Kesedaran Keselamatan Jalan Raya

0
SHARE
Juhar
Tun Juhar (tiga dari kiri) bersama Alhambra (tiga dari kanan) bergambar kenangan bersama selepas gimik pelancaran ( Sumber Foto: Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Royal Enfield Malaysia komited dalam meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya khususnya kepada penggemar motorsikal berkuasa tinggi.

Ketua Penjenamaannya, Ster Yap berkata, amat penting bagi penunggang motorsikal mengetahui aspek-aspek keselamatan yang perlu diutamakan ketika berada di atas jalan raya.

Memberi kesedaran kepada penunggang dan pengguna jalan raya terhadap isu keselamatan merupakan salah satu daripada tanggungjawab sosial yang kami laksanakan melalui kerjasama dengan komuniti penunggang motorsikal di negeri ini.

“Kami sentiasa berusaha mendedahkan kepada penggemar motorsikal agar sentiasa menggunakan kelengkapan yang cukup bagi menjamin keselamatan.

“Program hari ini merupakan kali pertama kami berada di Sabah dan selepas ini, kami bercadang untuk mengadakan pelbagai aktiviti yang akan memberi manfaat bukan sahaja kepada penggemar motorsikal tetapi juga masyarakat Sabah secara keseluruhan,” katanya ketika ditemui media sempena Majlis Pelancaran Super Meteor 650 di sini, pada Sabtu.

Sementara itu, Pengasas Stunning Bike, Jordan Chan berkata, mereka juga bakal mengadakan kursus Advance Riding Course pada bulan Disember depan.

“Menunggang motorsikal berkuasa tinggi merupakan satu aktiviti ekstrim, ia bukanlah sesuatu yang mudah dan penunggang memerlukan kemahiran.

“Kursus ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada penunggang motorsikal mengenai cara untuk memastikan keselamatan diri dan pengguna jalan raya yang lain ketika menunggang motorsikal,” ujarnya.

Majlis pelancaran berkenaan disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin.

Dalam majlis tersebut, turut diadakan sesi penyerahan motorsikal Super Meteor 650 kepada Tun Juhar.

Hadir sama, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Alhambra Juhar dan Setiausaha Perhubungan kepada Tuan Yang Terutama Sabah, Datuk Mohd Rashid Mohd Tahir. — JABATAN PENERANGAN SABAHÂ