MKT UMNO Pecat Dua Ketua Wanita Bahagian, Seorang Ketua Bahagian

MKT UMNO Pecat Dua Ketua Wanita Bahagian, Seorang Ketua Bahagian

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memutuskan untuk memecat dua ketua wanita bahagian dan seorang ketua bahagian UMNO, semalam.

Memetik sumber Berita Harian, Ahli MKT, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata menerusi hasil mesyuarat MKT UMNO semalam berkata ketiga-tiga individu terbabit dikenakan tindakan disiplin kerana mencela parti termasuk Presiden UMNO.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan secara terperinci identiti individu berkenaan sambil menjelaskan mereka bukan dalam kalangan MKT.

“Kita minta parti bertindak tegas, kenakan tindakan disiplin kepada mereka yang bukan sahaja mencemuh parti tetapi mencemuh Presiden parti…

“Ada dipecat…ahli UMNO bukan MKT. Tiga orang…dua ketua wanita bahagian dan satu ketua bahagian kerana mencemuh parti serta berkempen (untuk pihak lawan),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat MKT di Menara Dato’ Onn, semalam.

Dalam pada itu, menjelaskan situasi dalam mesyuarat berkenaan, Mohd Puad berkata, nada Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi agak tegas berkenaan isu disiplin.

Katanya, Ahmad Zahid menegaskan tidak akan sekali berkompromi dengan ahli yang burukkan parti termasuk membocorkan inti pati mesyuarat parti kepada pihak luar.

“Satu lagi, hari ini (semalam), presiden parti agak tegas dalam isu disiplin dan beliau tidak akan berkompromi dengan mereka yang suka burukkan parti termasuk bocorkan hasil mesyuarat MKT,” katanya.