Pandikar: Tinggalkan Politik 1985, GRS Strategi Baharu Sabah

Pandikar: Tinggalkan Politik 1985, GRS Strategi Baharu Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU: Presiden USNO, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menyifatkan pembentukan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai satu strategi politik yang cemerlang bagi Sabah, sambil menyeru para pemimpin tempatan agar meninggalkan cara berpolitik lama yang berakar pada era 1985.

Berucap pada majlis pelancaran jentera GRS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Ahad, Pandikar mengenang perjalanan politiknya sendiri, merujuk kepada bukunya “Berpisah Tiada” yang diterbitkan pada 2017 di mana beliau menegaskan bahawa Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia tidak seharusnya dipisahkan.

“Dulu kalau bekerjasama dengan pemimpin atau parti dari Semenanjung, dianggap pengkhianat. Saya sendiri pernah dipanggil ‘pengkhianat, baruah KL’. 

“Tapi bila difikirkan semula, kesejahteraan rakyat Sabah mesti diutamakan, bukan perasaan kita semata-mata,” katanya.

Beliau turut menegur segelintir pemimpin yang masih membawa semangat lama, khususnya “semangat 1985” yang sering dikaitkan dengan perjuangan Datuk Seri Jeffrey Kitingan.

“Semangat 1985 mengakibatkan satu politik yang amat dasyat di Sabah yang mana Pemimpin Malaya membawa UMNO di Sabah,” katanya.

Pandikar memuji kepimpinan Ketua Menteri merangkap Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor, yang disifatkannya mempunyai visi politik matang melalui pembentukan GRS.

“Hajiji mengubah arus politik Sabah. Beliau keluar daripada pengaruh parti berpusat di Semenanjung, menyatukan pemimpin tempatan, dan menubuhkan parti tempatan yang kini mentadbir negeri. Itu kematangan politik sebenar,” ujarnya.

Beliau turut mengiktiraf peranan tokoh seperti Tan Sri Yong Teck Lee dan Datuk Seri Anifah Aman dalam merangka platform GRS, namun berkata masih ada pemimpin yang sukar meninggalkan strategi lama.

“Kematangan Hajiji tidak semua hargai. Ada yang masih terperangkap dalam semangat 1985 termasuk Jeffrey dan ‘sifu’ saya, Yong,” katanya.

Menilai lima tahun pentadbiran GRS, Pandikar berkata gabungan itu telah membuktikan keupayaannya mentadbir secara berdikari.

“Kalau perlu, kita boleh bergerak sendiri. Tapi dalam politik dan kehidupan, bukan semua boleh dilakukan secara solo. Kita perlu bekerjasama,” katanya.

Pandikar turut menyeru agar parti lebih agresif dalam strategi komunikasi politik dan menolak naratif berpecah belah.

“Rakyat kadang-kadang tidak mahu fakta, tetapi mereka mudah tersentuh dengan retorik kosong seperti hujah Datuk Seri Shafie Apdal di luar sana,” katanya.