PUTRAJAYA: Perniagaan yang menggunakan kurang daripada 42 kilogram gas petroleum cecair (LPG) subsidi tidak diwajibkan memohon Permit Barang Kawalan Berjadual (PBKB), jelas Pengarah Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNHEP), Datuk Azman Adam.
Penjelasan ini dibuat bersempena dengan pelaksanaan OPS Gasak, satu kempen penguatkuasaan di seluruh negara yang bermula pada 1 Mei hingga 31 Oktober 2025 bagi membanteras penyalahgunaan subsidi LPG.
“Fokus utama adalah menumpukan usaha membanteras aktiviti penyulingan haram dan menghalang penyalahgunaan LPG subsidi oleh industri berskala sederhana dan besar.
“Pembekal LPG dibenarkan meneruskan bekalan silinder LPG subsidi kepada pelanggan sedia ada termasuk peniaga makanan dan minuman walaupun belum memiliki PBKB,” kata beliau dalam satu kenyataan.
Sepanjang kempen ini, pegawai penguatkuasa akan memberi penekanan kepada advokasi dan pematuhan di premis makanan dan minuman tanpa mengambil tindakan undang-undang terhadap premis yang tiada permit.
Perniagaan yang melebihi had penggunaan digalakkan untuk memohon permit melalui sistem BLESS 2.0, manakala pembekal LPG boleh terus membuat penghantaran kepada pelanggan sedia ada tanpa memerlukan PBKB.






