Tengku Zafrul Umum Letak Jawatan Dalam UMNO, Umum Sertai PKR

Tengku Zafrul Umum Letak Jawatan Dalam UMNO, Umum Sertai PKR

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, hari ini mengumumkan peletakan jawatannya dalam UMNO, termasuk sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi, Ketua UMNO Bahagian Kota Raja dan ahli parti itu secara rasmi.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sebentar tadi, Tengku Zafrul menyatakan bahawa keputusan tersebut dibuat selepas pertimbangan mendalam, termasuk mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak, termasuk Presiden UMNO sendiri.

“Keputusan ini bukan sebuah keputusan yang mudah. Saya telah mengambil masa yang agak panjang untuk memikirkan keputusan ini secara mendalam,” katanya, sambil menekankan bahawa UMNO adalah satu-satunya parti politik yang beliau sertai sejak tahun 1997.

Menurut beliau, keputusan itu dibuat atas faktor keserasian dan kesesuaian, setelah melalui proses muhasabah diri.

Tengku Zafrul turut memaklumkan bahawa beliau telah menyatakan niat untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) kepada pimpinan tertinggi parti tersebut, dan akan mengikuti proses permohonan biasa untuk menjadi ahli.

“Saya telah menyatakan niat untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat kepada Presiden dan Setiausaha Agung PKR,” jelas beliau.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada semua rakan dan penyokong UMNO yang telah menyokong beliau sepanjang penglibatan aktifnya dalam parti.

“Jasa anda tak mungkin akan terbalas dan akan saya kenang sampai bila-bila,” ujar beliau.

Langkah Tengku Zafrul ini dilihat sebagai satu perkembangan politik yang signifikan, memandangkan beliau merupakan antara pemimpin technokrat yang dibawa masuk ke dalam kerajaan dan UMNO dalam usaha memperkukuhkan barisan kepimpinan ekonomi negara.

Setakat ini, belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada UMNO mahupun PKR berhubung penyertaan Tengku Zafrul.