RANAU: Sambutan Hari Raya Aidilfitri terus menjadi platform penting dalam memperkukuh perpaduan masyarakat berbilang kaum dan agama, di samping mengeratkan nilai kekeluargaan.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam berkata, peluang berkumpul bersama ahli keluarga termasuk yang tinggal berjauhan amat bermakna dalam mengukuhkan hubungan kekeluargaan.
“Majlis seperti Sinakagon Gorihom Om Gapaya yang dianjurkan sempena rumah terbuka ini memainkan peranan penting dalam mengeratkan hubungan kekeluargaan dalam suasana harmoni dan penuh kegembiraan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri, Sinakagon Gorihom Om Gapaya di Dewan Terbuka Rimbunan Hijau Residence, Kampung Silou, di sini, hari ini.
Joachim yang juga Wakil Rakyat Kundasang berkata, majlis seumpama itu memberi ruang kepada ahli keluarga untuk bertemu, bermaaf-maafan serta memperbaharui hubungan.
“Ini bukan sekadar sambutan perayaan, tetapi menjadi wadah mengukuhkan ikatan antara generasi dalam keluarga,” katanya.
Menurutnya, tanpa pertemuan seperti itu, peluang untuk saling mengenali dan mengeratkan hubungan menjadi lebih terbatas, khususnya bagi mereka yang tinggal berjauhan.
Katanya, penganjuran program berkenaan turut mencerminkan semangat kekeluargaan yang kukuh serta menjadi simbol penyatuan keluarga dan komuniti dalam suasana muhibah.
Beliau menambah, nilai kekeluargaan yang dipupuk menerusi majlis seumpama itu perlu terus dipelihara kerana menjadi asas kepada keharmonian masyarakat.
“Amalan ziarah-menziarahi, berkongsi kegembiraan serta menghargai kehadiran ahli keluarga wajar diteruskan dari generasi ke generasi,” katanya.
Beliau berharap sambutan Aidilfitri terus diraikan dengan kesederhanaan, kegembiraan dan semangat kekeluargaan agar nilai murni berkenaan kekal diwarisi.






