Tambah Dua Kerusi Parlimen Tawau Susulan Peningkatan Pengundi – Nizam

Tambah Dua Kerusi Parlimen Tawau Susulan Peningkatan Pengundi – Nizam

0
SHARE

TAWAU: Tawau wajar dipertimbang untuk penambahan dua kawasan Parlimen baharu susulan peningkatan ketara jumlah pengundi di kawasan berkenaan.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, jumlah pengundi yang kini melebihi 80,000 orang menunjukkan keperluan menilai semula pembahagian kawasan sedia ada.

Menurutnya, keadaan itu bukan sahaja meningkatkan beban tugas wakil rakyat, malah menjejaskan keupayaan untuk berinteraksi secara lebih dekat dengan pengundi di peringkat akar umbi.

Cadangan mewujudkan dua Parlimen baharu di Tawau adalah antara langkah wajar bagi memastikan setiap kawasan mendapat perhatian lebih seimbang dan menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri di Dewan Masyarakat Tawau, di sini, hari ini.

Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata, secara ideal satu kawasan Parlimen seharusnya melibatkan sekitar 40,000 hingga 50,000 pengundi bagi memperkukuh hubungan antara wakil rakyat dan masyarakat.

Katanya, sebarang penstrukturan semula perlu mengambil kira faktor demografi, kepadatan penduduk serta keperluan pembangunan setempat agar selari dengan aspirasi kesejahteraan rakyat.

Dalam pada itu, beliau menegaskan cadangan berkenaan perlu melalui saluran rasmi termasuk penelitian Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) serta kelulusan di peringkat Persekutuan.

Terdahulu, lebih 6,000 masyarakat pelbagai kaum hadir memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri yang berlangsung dari jam 10 pagi hingga 1 tengah hari.