Sistem Amaran Awal Berasaskan AI Hadapi Perubahan Iklim – Arthur

Sistem Amaran Awal Berasaskan AI Hadapi Perubahan Iklim – Arthur

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Malaysia terus memperkukuh keupayaan pemantauan dan ramalan cuaca dengan mengintegrasikan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) serta analitik data raya dalam Sistem Amaran Awal Multi-Bahaya (MHEWS) bagi menghadapi cabaran perubahan iklim yang semakin kritikal.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, langkah itu membolehkan penyampaian maklumat amaran awal seperti banjir kilat, ribut tropika dan fenomena cuaca ekstrem dilakukan dengan lebih pantas serta tepat kepada agensi berkaitan dan masyarakat.

“Perubahan iklim adalah cabaran yang menuntut tindakan kolektif dan berterusan daripada semua pihak.

“Data meteorologi yang kita hasilkan bukan sekadar angka, tetapi merupakan panduan keselamatan yang menentukan kesejahteraan rakyat kita,” katanya sempena sambutan Hari Meteorologi Sedunia 2026.

Menurut beliau, sambutan tahun ini yang bertemakan “Pemantauan Hari Ini, Perlindungan Hari Esok” menekankan peranan strategik sains meteorologi dalam melindungi nyawa serta harta benda daripada ancaman cuaca ekstrem.

Dalam pada itu, beliau berkata pemerkasaan Pusat Kecemerlangan Iklim Negara akan terus diperkasa sebagai hab penyelidikan bagi menilai impak perubahan iklim dan menyokong penggubalan dasar adaptasi nasional yang lebih mampan.

Arthur turut menegaskan kepentingan meningkatkan literasi cuaca dalam kalangan masyarakat menerusi program “Meteorologi Untuk Rakyat” bagi memastikan setiap amaran yang dikeluarkan dapat diterjemahkan kepada tindakan pencegahan yang berkesan.

Di peringkat antarabangsa, Malaysia akan terus memainkan peranan aktif dalam Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO), khususnya dalam menyokong inisiatif “Early Warnings for All”.

Katanya, komitmen itu membuktikan usaha berterusan kerajaan untuk memastikan tiada rakyat terpinggir daripada menerima perlindungan keselamatan berkaitan perubahan iklim.